KUALA LUMPUR: Penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi setiap menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan, dilihat berupaya membawa impak positif kepada usaha memantapkan pembangunan negara.
Penganalisis ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai, berkata KPI itu akan menunjukkan kesungguhan dan hala tuju jelas kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam memperkasakan ekonomi negara, sekali gus memberi keyakinan kepada peniaga serta pelabur asing.
Pakar dari Sekolah Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak itu menjelaskan, pengukuhan ekonomi akan secara langsung membawa kesan baik terhadap prestasi saham, kadar tukaran dan pelaburan langsung asing.
"KPI terbaik untuk Kerajaan Perpaduan perlu membabitkan tiga komponen utama, iaitu berkait perkara akan ditawarkan dalam pembentangan semula Bajet 2023 nanti, pelaksanaan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), selain agenda menyelesaikan isu-isu berbangkit pada sidang Parlimen.
"Mengambil kira kerajaan ini terdiri daripada gabungan, antaranya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), maka sebagai contoh, kita boleh memilih titik tengah dengan memfokus apa yang ditekankan dalam manifesto kedua-dua gabungan itu," katanya kepada Bernama, hari ini.
Semalam, Anwar mengumumkan satu program permukiman bakal diadakan, khusus membabitkan Jemaah Menteri bagi menetapkan KPI setiap kementerian.
Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, KPI itu penting bukan hanya untuk mengukur prestasi menteri atau kementerian semata-mata, sebaliknya apa yang utama ialah dijadikan panduan dalam merencana perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang ke arah merealisasikannya.
Sementara itu Dekan Pusat Pengajian Siswazah Keusahawanan dan Perniagaan Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Dr Roselina Ahmad Saufi, berkata empat teras utama perlu diberi penekanan bagi mewujudkan KPI yang holistik, objektif dan bukan bersifat syok sendiri.
Beliau berkata, teras berkenaan ialah mewujudkan polisi penetapan dan pelaksanaan KPI yang boleh digariskan oleh Pejabat Perdana Menteri membabitkan aspek sasaran ingin ditetapkan, selain kaedah pengukuran yang akan digunakan.
"Kedua, kita melihat implikasi KPI itu nanti. Dalam perkara ini, Perdana Menteri selaku 'captain of the ship' perlu dengan jelas menyatakan visi, misi serta hala tuju kerajaan pimpinan beliau untuk jangka pendek, sederhana dan semestinya lima tahun dari sekarang.
"Hala tuju ini harus difahami semua pihak, terutama barisan Jemaah Menteri. Maka dari situ, barulah setiap kementerian boleh menyahut serta menterjemahkannya kepada satu agenda atau KPI masing-masing," katanya.
Profesor Pengurusan dan Perniagaan itu berkata, setiap kementerian disaran melakukan sesi libat urus dengan pemegang taruh dan pihak berkepentingan dari segenap lapisan pimpinan tertinggi, selain mengambil kira keluhan serta aspirasi rakyat dalam menggariskan KPI mereka.
"Dalam aspek Kerajaan Perpaduan, sesi libat urus perlu diadakan bersama barisan parti komponen dalam gabungan yang membentuk kerajaan hari ini, malah boleh juga membabitkan pihak pembangkang," katanya.
Roselina berkata, teras terakhir dan yang terpenting ialah memantau pelaksanaan KPI agar ia selari dengan misi dan visi Kerajaan Perpaduan, seterusnya dibentangkan dalam Kabinet serta dihebahkan kepada rakyat mengikut tempoh bersesuaian dan dipersetujui. – BERNAMA