Isnin, 9 Januari 2023 | 3:07pm
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bersama Presiden Indonesia Joko Widodo mengadakan sidang media bersama selepas mesyuarat dua hala mereka pada Isnin di Istana Bogor Jawa Barat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bersama Presiden Indonesia Joko Widodo mengadakan sidang media bersama selepas mesyuarat dua hala mereka pada Isnin di Istana Bogor Jawa Barat.

Anwar, Jokowi sepakat selesai isu tertangguh tahun ini

JAKARTA: Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Jokowi, sepakat mengukuhkan hubungan dua hala dan menyelesaikan beberapa isu membabitkan kedua-dua negara yang masih tertangguh.

Ia merangkumi isu Tenaga Kerja Indonesia (TKI) Perkhidmatan Domestik Indonesia (PDI), penyelarasan pengambilan pekerja dan persempadanan.

Dalam pernyataan bersama dua pemimpin selepas pertemuan di Istana Bogor hari ini, Perdana Menteri dan Jokowi, setuju pelbagai perbincangan yang belum diputuskan, diselesaikan segera dan perjanjian ditandatangani tahun ini.

Dalam pertemuan itu, Anwar melahirkan rasa gembira serta terharu kerana beliau dan Jokowi dapat berbincang secara terbuka dan berlapang dada mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang menjadi keutamaan kepada Malaysia dan Indonesia.

Anwar sendiri berkata, Malaysia tidak mahu isu berkenaan terus berpanjangan yang menjejaskan usaha dua negara untuk mencapai kesepakatan demi kepentingan rakyat dan kedua-duan negara.

Katanya, sudah banyak mesyuarat dan rundingan diadakan, namun masih banyak yang belum diselesaikan dan Malaysia berharap ia dapat diputuskan dengan perjanjian.

Anwar telah memaklumkan kepada Jokowi Malaysia sentiasa menghargai sumbangan TKI dan PDI kepada pembangunan sosio-ekonomi Malaysia.

"Saya telah memberi jaminan kepada Presiden, bahawa Malaysia akan terus bekerjasama dengan Indonesia bagi memastikan pengambilan dan perlindungan PDI adalah berlandaskan undang-undang negara sedia ada.

"Dicadangkan supaya kedua-dua negara segera memulakan rundingan bagi menyemak semula Memorandum Persefahaman Penggajian Tenaga Kerja Indonesia (MoU TKI 2004) yang agak 'outdated' pada tahun 2023 supaya ia selari dengan perubahan semasa dari segi dasar, undang-undang dan peraturan kedua-dua negara" katanya.

Kedua-dua pemimpin telah berbincang dan mengambil maklum berhubung kemajuan dalam rundingan pembatasan sempadan darat dan maritim di antara kedua-dua negara.

Justeru, Anwar dan Jokowi bersepakat agar rundingan ini dipergiatkan untuk mencari penyelesaian segera agar kedua-dua pihak dapat meneruskan agenda pembangunan di kawasan terbabit dan memelihara kedaulatan serta integriti wilayah masing-masing.

Mengenai kerjasama ekonomi, Anwar telah usulkan kepada Jokowi supaya pelabur Indonesia terus meningkatkan pelaburan di Malaysia dan mengalu-alukan penandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) sektor swasta Malaysia dan Indonesia yang dimeterai ketika lawatan ini dengan jumlah projek dianggarkan bernilai RM1.16 bilion.

"Saya juga telah sampaikan minat mendalam Malaysia untuk turut serta dalam pembangunan Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara.

"Malaysia bersedia berkongsi pengalaman dalam pembinaan Putrajaya dengan Indonesia. Saya percaya syarikat Malaysia mempunyai kepakaran bertaraf antarabangsa untuk bersama-sama membangunkan IKN Nusantara," katanya.

Perdana Menteri juga berkongsi kemajuan kerjasama dalam pembangunan berasaskan Tenaga Boleh Baharu yang mana Sarawak Energy Berhad sedang aktif dalam menbangunkan Mentarang Induk Hydroelectric Plant (MIHEP) dengan kerjasama syarikat Indonesia, PT Kayan Hydropower Nusantara.

"Saya difahamkan projek ini amat signifikan bagi menyokong Kawasan Perindustrian dan Pelabuhan Antarabangsa di Tanah Kuning, Kalimantan Timur," katanya.

Berita Harian X