Ahad, 8 Januari 2023 | 11:57pm
Anwar bersama isteri bergambar kenangan dengan warga Malaysia di Indonesia pada Majlis Makan Malam Perdana Menteri Bersama Diaspora Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, malam ini. - Foto BERNAMA

Permukiman Jemaah Menteri tetapkan KPI minggu depan - Anwar

JAKARTA: Satu program permukiman akan diadakan, minggu depan, khusus membabitkan Jemaah Menteri bagi menetapkan indeks prestasi utama (KPI) setiap kementerian, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, program itu bertujuan mendapatkan input daripada menteri selepas lebih sebulan memikul tanggungjawab, dan mengemukakan perkara yang boleh dilakukan atau diperbaiki.

"Selepas itu, kita akan membuat pengumuman mengenai KPI serta harapan daripada setiap menteri dan kementerian," katanya pada sesi soal jawab sempena Majlis Makan Malam Perdana Menteri Bersama Diaspora Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan, di sini, malam ini.

Yang turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Anwar bersama isteri tiba pada Majlis Makan Malam Perdana Menteri bersama Diaspora Malaysia di Jakarta di Kedutaan Malaysia di Indonesia, malam ini. - Foto BERNAMA
Anwar bersama isteri tiba pada Majlis Makan Malam Perdana Menteri bersama Diaspora Malaysia di Jakarta di Kedutaan Malaysia di Indonesia, malam ini. - Foto BERNAMA

Terdahulu, Anwar dalam ucapannya berkata, kerajaan sedang berusaha memacu semula pertumbuhan ekonomi yang lebih segar serta meyakinkan, dan fokus utama pentadbirannya ialah pengukuhan ekonomi yang mampan dengan menarik pelaburan, selain menjamin keadilan sosial.

"Malaysia mesti bebas daripada kegelojohan kelompok elit kecil yang menggunakan kuasa untuk memperkayakan diri dan puak mereka. Saya tidak akan bertolak ansur sama sekali walaupun ini menggugat kedudukan saya," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X