KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang elemen yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata aspek keselamatan dan kesihatan sentiasa menjadi keutamaan kerana tidak mahu Malaysia berdepan masalah seperti yang dihadapi dua tahun lalu.
"Kebetulan hari ini terdapat tiga pesawat yang membawa pengunjung dari China dan Hong Kong. Saya sedar kebimbangan banyak pihak seperti maklum balas ramai yang saya terima, maka saya ambil peluang ini untuk ikut serta proses yang sedang berjalan.
"Dari segi tugas hakiki Jabatan Imigresen, proses itu berlangsung dengan cukup rapi tanpa langsung kompromi hal membabitkan soal keselamatan," katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Dalam perkongsian itu, beliau menjelaskan mengenai kehadirannya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dengan hanya memberikan notis singkat kepada Jabatan Imigresen.
Lawatannya turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.
Saifuddin Nasution menjelaskan, lawatan kerja itu bagi melihat sendiri proses penerimaan kemasukan pekerja asing.
"Prosedur yang digariskan itu saya lihat punyai aspek kepatuhan yang tinggi," katanya.
Katanya, beliau turut sempat bertemu dengan pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertanggungjawab terhadap kamera saringan bagi mengesan suhu badan pengunjung.
"Jika melebihi suhu yang sepatutnya, pengunjung terbabit akan segera diperiksa oleh pasukan perubatan bagi melihat gejala lain dan boleh segera dibawa ke Hospital Sungai Buloh," katanya.