Ahad, 8 Januari 2023 | 6:30pm
Saifuddin Nasution (kanan) diiringi Khairul Dzaimee ketika lawatan di KLIA hari ini. - Foto BERNAMA
Saifuddin Nasution (kanan) diiringi Khairul Dzaimee ketika lawatan di KLIA hari ini. - Foto BERNAMA

SOP kemasukan pelancong asing ke Malaysia kekal

SEPANG: Prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pelancong asing di semua pintu masuk antarabangsa adalah kekal setakat ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, sebarang keputusan berhubung SOP baharu hanya akan dibuat berlandaskan data terkini COVID-19.

Katanya, SOP yang dikenakan kepada pelancong yang tiba di Malaysia termasuk dari China juga adalah sama dengan ketibaan dari negara lain.

"Tentulah tidak bijaksana untuk selektif dan saya fikir tidak tepat untuk negara ambil pendirian begitu," katanya selepas meninjau operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Saifuddin Nasution (tengah) ketika melawat tempat pemeriksaan suhu badan sewaktu mengadakan lawatan di KLIA hari ini. - Foto BERNAMA
Saifuddin Nasution (tengah) ketika melawat tempat pemeriksaan suhu badan sewaktu mengadakan lawatan di KLIA hari ini. - Foto BERNAMA

Bagaimanapun, Saifuddin berkata, kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan kepentingan menjaga keselamatan rakyat daripada sebarang ancaman kesihatan termasuk wabak COVID-19.

Pada Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia tidak mendiskriminasi mana-mana negara dalam menjalankan pemeriksaan COVID-19 terhadap pelancong yang tiba di negara ini, namun mahu memastikan kesihatan rakyat adalah keutamaan.

Perdana Menteri berkata, kawalan di pintu masuk negara oleh Jabatan Imigresen juga diperketatkan bagi memantau kemasukan rakyat asing ke Malaysia.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pelancong yang dikenal pasti mengalami demam akan dibawa ke sudut khas untuk diperiksa doktor bertugas.

"Jika suhu 37 darjah celsius, mereka letak (pelancong) di sudut khusus untuk buat semakan, kalau kekal dengan rekod tanda iaitu positif…terus dibawa ke Hospital Sungai Buloh," katanya.

Mengenai pemeriksaan di kaunter Imigresen di KLIA hari ini, beliau secara keseluruhan berpuas hati kerana semua pelancong mematuhi SOP sedia ada. – BERNAMA

Berita Harian X