KOTA KINABALU: Satu upacara angkat sumpah jemaah Kabinet baharu Sabah dijangka diadakan esok, dipercayai berikutan kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengenai rombakan Kabinet negeri sebelum ini.
Difahamkan, upacara itu akan berlangsung pada jam 9 pagi esok di Dewan Istiadat, Istana Seri Kinabalu.
Bagaimanapun, setakat ini, belum ada maklumat rasmi berhubung perkara itu, begitu juga mengenai senarai nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bakal mengangkat sumpah jawatan.
Namun, berikutan pengumuman Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, mengenai keputusan gabungan itu menarik diri daripada kerajaan negeri, beberapa andaian boleh dibuat berhubung rombakan yang dilakukan Hajiji.
Antaranya, jawatan Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya, yang sebelum ini disandang Bung Moktar dan dua jawatan menteri yang sebelum ini dipegang ADUN UMNO, selain beberapa jawatan Pembantu Menteri, bakal diganti muka baharu.
Jawatan Menteri dipegang UMNO sebelum ini ialah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, yang disandang Timbalan Ketua UMNO Sabah, merangkap ADUN Karambunai, Datuk Yakub Khan serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Arifin (Sukau).
Bagi jawatan Pembantu Menteri, ia membabitkan Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Harun Durabi; Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Andi Muhamad Suryady Bandy serta Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Mohd Hamsan Awang Supain.
Difahamkan, beberapa ADUN UMNO kekal memegang jawatan, iaitu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya; Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Jasnih Daya serta Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk James Ratib.
Ada kemungkinan juga lima ADUN UMNO yang menyokong Hajiji bakal mendapat jawatan baharu dalam Kabinet negeri.
Selain itu, difahamkan beberapa daripada tujuh ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah juga antara yang bakal mengangkat sumpah jawatan masing-masing esok.
PH Sabah dibawa masuk ke dalam Kabinet negeri itu berikutan sokongan mereka kepada kerajaan negeri, yang dizahirkan kepada Hajiji, baru-baru ini.
Kemungkinan juga seorang ADUN DAP bakal dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri bagi mengisi kekosongan kuota jawatan untuk mewakili masyarakat Cina atau bukan Bumiputera.
Ketika ini, DAP mempunyai empat ADUN iaitu Datuk Frankie Poon (Tanjung Papat), Phoong Jin Zhe (Luyang), Tan Lee Fatt (Likas) dan Jannie Lasimbang (Kapayan).
Di samping itu, Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew, juga dijangka diberikan portfolio dalam Kabinet negeri, mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Christina pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri ketika pentadbiran kerajaan Parti Warisan (WARISAN) sebelum ini.
Hanya Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebagai komponen PH Sabah yang tiada wakil dalam Kabinet baharu itu memandangkan parti berkenaan hanya ada seorang ADUN iaitu Datuk Ewon Benedick (Kadamaian).
Ia berikutan Ewon, yang juga Ahli Parlimen Penampang sudah memegang portfolio Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam Kerajaan Persekutuan.