Ahad, 8 Januari 2023 | 11:30am

Kemelut politik Sabah, istana sediakan khemah untuk petugas

KOTA KINABALU: Prihatin dengan nasib puluhan pengamal media yang bertugas dalam keadaan hujan dan panas di luar pintu masuk Istana Seri Kinabalu, di sini, dua khemah dilengkapi kipas dipasang, malam tadi.

Istana menjadi tumpuan sejak kemelut politik Sabah kemelut politik tercetus apabila Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin membawa BN dan UMNO menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.

Serentak itu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah menggesa Hajiji meletak jawatan dan desakan sama turut disuarakan Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Gesaan itu dibuat kerana Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dianggap sudah hilang kelayakan disebabkan tidak berparti selepas keluar BERSATU, namun Ketua Menteri menyangkal dakwaan itu dan menyatakan Bung Moktar serta Mohd Shafie tidak faham undang-undang.

Semalam, pengamal media sudah mula berkumpul di luar pintu utama istana sejak pagi, malah ada yang terpaksa bermandi hujan ketika membuat liputan.

Kira-kira jam 8.30 malam tadi, khemah mula dipasang untuk keselesaan petugas media, malah turut disediakan kerusi.

Setiausaha Perhubungan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Datuk Mohd Rashid Mohd Tahir turut menyumbang makanan dan minuman kepada pengamal media.

Khemah yang disediakan bagi keselesaan petugas media yang menunggu di luar pintu masuk Istana Seri Kinabalu susulan pergolakan politik negeri. - NSTP/MOHD ADAM ARININ
Khemah yang disediakan bagi keselesaan petugas media yang menunggu di luar pintu masuk Istana Seri Kinabalu susulan pergolakan politik negeri. - NSTP/MOHD ADAM ARININ
Berita Harian X