Ahad, 8 Januari 2023 | 9:03am
Penduduk China memakai pelitup muka sedang menunggu kereta api di Stesen Kereta Api Utara di Shenzhen, wilayah Guangdong. - Foto Xinhua/AP
Penduduk China memakai pelitup muka sedang menunggu kereta api di Stesen Kereta Api Utara di Shenzhen, wilayah Guangdong. - Foto Xinhua/AP

China akhirnya buka pintu sempadan, tamatkan syarat kuarantin kepada pelawat luar hari ini

BEIJING: Selepas hampir tiga tahun menutup pintu sempadannya berikutan penularan pandemik COVID-19 bemula pada 2020, kerajaan China akhirnya kembali membuka semula pintu sempadannya bermula hari ini.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China pada 26 Disember lalu, mengumumkan tahap COVID-19 diturunkan daripada Kelas A kepada Kelas B.

Menurut suruhanjaya itu, COVID-19 ditukar daripada 'pneumonia novel coronavirus' kepada 'novel coronavirus infection'.

Kerajaan China hari ini juga menamatkan syarat kuarantin kepada pelawat luar bermula hari ini, yang sudah berkuat kuasa selama hampir tiga tahun, walaupun negara itu sedang bergelut dengan lonjakan kes COVID-19.

Justeru, rakyat negara itu juga dibenarkan melancong dan ke luar negara.

Sejak bulan lalu, Beijing mula melonggarkan strategi ketatnya dalam mengawal penularan COVID-19, yang membabitkan pelaksanaan kuarantin mandatori dan perintah berkurung besar-besaran selama berminggu-minggu.

Namun, dasar sifar COVID-19 yang ketat itu menjejaskan ekonomi China dan mencetus protes rakyat di seluruh negara itu.

Penamatan perintah kuarantin kepada pelancong luar adalah peraturan terakhir dalam dasar itu yang masih dilaksanakan, dengan pelawat dari luar negara diwajibkan menjalani pengasingan di fasiliti kerajaan sejak Mac 2020.

Tempoh kuarantin itu asalnya dikenakan selama tiga minggu, sebelum dikurangkan ke satu minggu pada pertengahan tahun lalu, dan dikurangkan lagi ke lima hari sejak November lalu.

Berikutan itu, rakyat China mula bergegas merancang perjalanan ke luar negara selepas kerajaan negara itu mengumumkan perintah kuarantin akan dibatalkan.

Namun, jangkaan peningkatan kehadiran pelancong China menyebabkan beberapa negara di dunia mengenakan syarat ujian COVID-19 mandatori kepada pelawat dari China.

Keputusan diambil China yang juga memiliki penduduk paling ramai di dunia itu ternyata menimbulkan kegusaran terhadap masyarakat antarabangsa kerana ia dilakukan ketika negara berkenaan berhadapan dengan peningkatan drastik penularan kes COVID-19.

Malah, beberapa negara juga melaksanakan langkah mengetatkan peraturan ketat pencegahan penularan COVID-19 mereka menjelang ketibaan pelawat dari China antaranya Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah.

Lonjakan kes COVID-19 di China ketika ini susulan kelonggaran dasar sifar COVID, dikhuatiri semakin buruk ketika China memasuki tempoh sambutan Tahun Baharu Cina mulai semalam, dengan jutaan rakyat negara itu dijangka bergerak ke kawasan luar bandar.

Beijing mengkritik sekatan perjalanan dikenakan negara lain kepada rakyat China dan menyifatkannya sebagai tidak boleh diterima, meskipun China masih menghalang kemasukan sebahagian besar pelancong asing dan pelajar antarabangsa.

Sementara itu, warga China, Zhang Kai, 28, memaklumkan perancangannya untuk melancong ke Korea Selatan atau Jepun, meskipun dikenakan syarat perlu menjalani ujian COVID-19.

"Saya gembira sekarang kerana sudah boleh ke luar negara," katanya, memaklumkan rakannya sudah berada di Jepun dan menyifatkan syarat ujian itu sebagai perkara kecil. - AFP

Berita Harian X