Sabtu, 7 Januari 2023 | 6:28pm

Keadaan politik di Sabah terkawal - Anwar

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan keadaan politik di Sabah adalah terkawal, buat masa ini.

Perdana Menteri berkata, beliau sendiri sudah bercakap dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berhubung isu berkenaan.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah bercakap dengan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, mengenai perkara sama.

"Insya-Allah, kita dapat memastikan keadaan pengurusan kerajaan negeri tidak terjejas. Keutamaan kita ialah menjana pertumbuhan ekonomi dan menjaga kepentingan rakyat.

"Selepas balik dari Jakarta (atas lawatan rasmi) nanti, saya akan memberi perhatian kepada perkembangan di Sabah," katanya kepada media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), di sini, hari ini.

Pada sidang media semalam, Bung Moktar mengumumkan BN Sabah meliputi UMNO menarik balik sokongan kepada Hajiji susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukannya sebagai Ketua Menteri, selain mendakwa perjanjian antara BN dengan Perikatan Nasional (PN) sudah dilanggar.

Bung Moktar bagaimanapun dilaporkan mengaku lima daripada 18 ADUN BN Sabah tidak menyokong keputusan itu.

Mengulas mengenai mesyuarat hari ini pula, Anwar berkata, PH menzahirkan kepercayaan terhadap Kerajaan Perpaduan.

"Terima kasih atas kepercayaan kepada Kerajaan Perpaduan dengan hubungan mantap dan perbincangan yang lebih kerap.

"Semua akui ini Kerajaan Perpaduan, dan kerjasama BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diberikan keutamaan," katanya.

Sementara itu Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika ditanya mengenai kemelut politik di Sabah, berkata mesyuarat Majlis Presiden PH diberi sedikit taklimat oleh Perdana Menteri tetapi tidak berbeza dengan apa yang dimaklumkan kepada media, semalam.

Anwar pada program Naratif Khas bersama Perdana Menteri terbitan RTM, semalam, berkata kemelut politik kecil yang tercetus di Sabah tidak akan memberi kesan ataupun menjejaskan kedudukan Kerajaan Perpaduan, sebaliknya ia hanya membabitkan kepimpinan politik peringkat negeri itu.

Seterusnya Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil pula memaklumkan belum ada perkembangan atau perbincangan yang muktamad berhubung situasi di Sabah.

Namun, beliau percaya Anwar akan menetapkan hala tuju untuk PH di Sabah kerana masih ada parti komponen gabungan politik itu di negeri berkenaan yang diwakili Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

"Kita belum ada apa-apa perbincangan yang terlalu khusus. Sebagai contoh, belum dibincangkan isu pembahagian kerusi dan sebagainya," katanya.

Anwar bercakap kepada media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH, hari ini. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Anwar bercakap kepada media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH, hari ini. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Berita Harian X