SEPANG: Usaha mempertingkat hubungan dua hala negara serumpun akan menjadi intipati penting lawatan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Indonesia selama dua hari bermula esok.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata selain beliau, dalam lawatan atas jemputan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) itu, Perdana Menteri akan diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Katanya, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan Jokowi di Istana Bogor pada Isnin ini.
"Mesyuarat di antara kedua-dua pemimpin ini akan memberi peluang kedua-dua pihak menilai kemajuan kerjasama dua hala, meneroka peluang kerjasama baharu dan menggalakkan usaha bersama untuk menangani cabaran serantau serta global.
"Antara isu utama yang akan dibincangkan adalah kerjasama ekonomi termasuk potensi pelaburan oleh Malaysia di ibu kota negara (IKN) Nusantara.
"Selain itu, strategi bagi menangani diskriminasi minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU), pembatasan sempadan darat dan maritim, pengambilan serta perlindungan pekerja migran dari Indonesia serta kepengerusian ASEAN oleh Indonesia pada tahun ini," katanya pada sidang media pembuka tirai lawatan sulung Perdana Menteri ke Indonesia di sini, hari ini.
Zambry berkata, sejumlah lapan memorandum persefahaman (MoU) akan dimeterai antara sektor swasta Malaysia dan Indonesia dalam kunjungan berkenaan.
"Sebuah majlis penyerahan 11 pucuk Surat Minat (LoI) oleh syarikat Malaysia kepada Pengerusi Nusantara juga akan diaturkan bagi menyatakan hasrat Malaysia bekerjasama rapat dengan Indonesia untuk pembangunan IKN Nusantara," katanya.
Beliau berkata, melihat pembangunan IKN Nusantara tentunya akan memberi peluang kepada Malaysia terutama Sabah dan Sarawak mendapat manfaat pembangunan di Kalimantan.
Selain itu, Zambry berkata, pada 2021, Indonesia adalah rakan dagang global ketujuh terbesar dan ketiga terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan jumlah dagangan RM95.31 bilion.
"Bagi Januari hingga November 2022, Indonesia menjadi rakan dagang keenam terbesar dan kedua terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan peningkatan jumlah dagangan sebanyak 41.7 peratus iaitu RM120.26 bilion," katanya.