Sabtu, 7 Januari 2023 | 1:41pm

Waspada e-mel konon ada transaksi belum selesai dengan bank

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan tidak pernah mengeluarkan sebarang e-mel dan mesej kepada orang awam untuk menuntut hadiah wang tunai bawah satu skim bonus yang ditawarkan oleh sebuah syarikat telekomunikasi.

Berikutan itu, suruhanjaya berkenaan MCMC meminta orang ramai supaya berwaspada dan tidak terpedaya dengan e-mel dan mesej yang tidak dapat ditentukan kesahihannya.

Jabatan Komunikasi Korporat MCMC dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan e-mel atau mesej terbabit antara lain mendakwa, hasil pemantauan oleh Rangkaian Pemantauan Perisikan Siber mendapati mangsa yang ditujukan mesej berkenaan masih mempunyai transaksi yang belum diselesaikan dengan sebuah bank, sebagai pemenang hadiah wang tunai sebanyak RM270,000 di bawah Bonus Hadiah Keluarga sebuah syarikat telekomunikasi.

"Kandungan e-mel juga menjelaskan, transaksi dengan bank berkenaan adalah sah dan mangsa boleh menuntut wang tunai itu tanpa rasa takut," katanya.

MCMC turut meminta orang ramai supaya mengelakkan daripada memberikan butiran peribadi seperti kad dan nombor kad pengenalan kepada individu tidak dikenali.

"Kewaspadaan orang ramai adalah penting dalam melindungi diri daripada menjadi mangsa penipuan, kecurian maklumat peribadi serta bentuk jenayah yang lain.

"Pada masa sama, segera laporkan perkara ini kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) untuk perhatian dan tindakan susulan," katanya.

Berita Harian X