Sabtu, 7 Januari 2023 | 12:31pm
Seorang murid berusia enam tahun menembak guru di dalam bilik darjah di Sekolah Rendah Richneck, Newport News, Virginia. - Foto AP
Seorang murid berusia enam tahun menembak guru di dalam bilik darjah di Sekolah Rendah Richneck, Newport News, Virginia. - Foto AP

Murid enam tahun tembak guru di sekolah rendah

NORFOLK: Seorang kanak-kanak berusia enam tahun menembak dan mencederakan seorang guru dalam bilik darjah Tahun Satu di Sekolah Rendah Richneck, Newsport News, Virginia.

Menurut beberapa pakar, insiden tembakan di sekolah membabitkan murid berusia enam tahun amat jarang berlaku, manakala undang-undang Virginia mengehadkan hukuman tertentu terhadap kanak-kanak bagi jenayah berkenaan.

Ketua Police Newport News, Steve Drew, berkata tiada murid lain tercedera dalam insiden tembakan di sekolah rendah kelmarin, manakala guru wanita berusia 30-an itu mengalami kecederaan serius.

Bagaimanapun, katanya, keadaan mangsa kini bertambah baik.

"Saya ingin jelaskan bahawa ini bukanlah situasi di mana individu bersenjata masuk ke sekolah sambil melepaskan tembakan," katanya, namun mengesahkan insiden tembakan berkenaan bukan kemalangan.

Pelajar dan polis berkumpul di luar Sekolah Rendah Richneck selepas kejadian murid enam tahun menembak guru. - Foto AP
Pelajar dan polis berkumpul di luar Sekolah Rendah Richneck selepas kejadian murid enam tahun menembak guru. - Foto AP

Drew berkata, murid dan guru berkenaan mengenali antara satu sama lain. Murid lelaki itu membawa senjata api masuk ke dalam bilik darjah, dan pihaknya sedang menyiasat bagaimana dan dari mana dia memperolehnya.

Namun, beliau tidak memberi perincian lanjut mengenai insiden tembakan, pertengkaran atau apa yang berlaku di dalam sekolah.

Drew juga tidak menjawab secara terperinci soalan mengenai sama ada pihak berkuasa sudah berhubung dengan ibu bapa suspek, namun menjelaskan pihak polis sedang mengendalikan siasatan.

"Kami sudah berhubung dengan pihak pendakwa raya dan beberapa entiti lain untuk membantu kami," katanya.

Sementara itu, pentadbir Sekolah Rendah Richneck yang memiliki 550 murid memaklumkan sesi persekolahan pada Isnin ini dibatalkan.

Undang-undang Virginia tidak membenarkan individu berusia enam tahun dibicarakan sebagai orang dewasa, dan terlalu muda untuk diletakkan di dalam tahanan Jabatan Keadilan Juvana jika disabit kesalahan.

Namun, hakim juvana memiliki kuasa untuk membatalkan hak penjagaan ibu bapa dan menempatkan kanak-kanak itu di bawah jagaan Jabatan Perkhidmatan Sosial. - AP

Berita Harian X