Sabtu, 7 Januari 2023 | 12:29pm
Dua pengarah kanan bergelar ‘Datuk’ direman empat hari bermula hari ini hingga Selasa depan bagi membantu siasatan kes pembelian saham dan isu pengambilalihan pengurusan Menara KL.
Dua pengarah kanan bergelar ‘Datuk’ direman empat hari bermula hari ini hingga Selasa depan bagi membantu siasatan kes pembelian saham dan isu pengambilalihan pengurusan Menara KL.

2 'Datuk' direman 4 hari bantu siasatan kes Menara KL

PUTRAJAYA: Dua pengarah kanan syarikat bergelar 'Datuk' direman empat hari bermula hari ini hingga Selasa depan bagi membantu siasatan kes pembelian saham dan isu pengambilalihan pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

Perintah reman terhadap individu masing-masing berusia 49 dan 59 tahun itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas permohonan dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di Mahkamah Majistret kira-kira jam 10.40 pagi tadi dengan menaiki kenderaan berasingan bersama pengiring.

Petang semalam, SPRM menahan dua pengarah kanan terbabit ketika hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk memberi keterangan.

Penahanan itu membabitkan seorang pengarah urusan syarikat yang didakwa terbabit mengambil alih saham Syarikat Menara KL.

Seorang lagi pula ialah ahli perniagaan yang dipercayai menjadi 'orang tengah' dalam urusan pengambilalihan syarikat itu.

Sumber dilaporkan berkata, hasil siasatan mendapati antara habuan didakwa terbabit ialah wang rasuah ratusan ribu ringgit dan seutas jam tangan mewah, dikatakan sebagai hadiah kepada 'orang atasan' untuk membantu pengambilalihan itu.

BH difahamkan, beberapa saksi termasuk pegawai kanan Telekom Malaysia (TM), Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Kementerian Komunikasi dan Digital, serta syarikat tertentu sudah diambil kenyataan bagi membantu siasatan.

Isu pengambilalihan pengurusan Menara KL tular dalam media sosial apabila orang ramai mempersoalkan keputusan TM menerusi anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, memindahkan pemilikan penuh mereka kepada syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd, Oktober lalu.

Berita Harian X