Sabtu, 7 Januari 2023 | 11:00am
Foto hiasan
Foto hiasan

COVID-19 catat 543 kes, 4 kematian

PUTRAJAYA: Jangkitan harian kes positif baharu COVID-19 di negara ini mencatatkan sedikit penurunan dengan 543 kes dilaporkan setakat malam tadi berbanding 571 kes sehari sebelumnya.

Data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman sesawang KKMNOW menunjukkan, sebanyak 539 kes adalah penularan tempatan manakala empat lagi kes import menjadikan jumlah kumulatif jangkitan COVID-19 kepada 5,029,337 kes.

Setakat tengah malam tadi, empat kematian direkodkan dengan satu adalah kematian luar hospital (BID), menjadikan statistik kematian adalah sebanyak 36,870.

Terdapat 11,415 kes masih aktif, termasuk 33 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), dengan 14 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada jumlah kes aktif itu, 554 pesakit atau 4.9 peratus menerima rawatan di hospital. Seramai 688 pesakit dilaporkan sembuh.

Penggunaan katil ICU juga berada pada paras 65.5 peratus.

Selain itu, seramai 598 individu mendapatkan suntikan dos utama vaksin COVID-19 semalam, dan 834 mendapatkan dos penggalak pertama dan 6,081 individu lain pula mendapatkan dos penggalak kedua.

Berita Harian X