KUALA LUMPUR: Sokongan anak muda yang didakwa tidak memihak kepada kerajaan hari ini hanya bersifat sementara dan akan berubah jika mereka mendapat maklumat tepat dan benar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menjadi tanggungjawab 'orang tua' termasuk pemimpin untuk memberi penerangan sejelas-jelasnya kepada golongan itu.
"Dikatakan mereka ini terpukau dengan soal kaum dan sebagainya namun ini hanya sebahagiannya sahaja kerana ada juga yang terpukau dengan wang ringgit, kita pun tahu.
"Jadi jangan runsing sangat dengan trend itu, ia hanya episod sementara kerana kita tahu ada yang naik motosikal dapat RM150 (ketika berkempen PRU15), jadi apakah ini kesilapan mereka, ini ajaran dari bapanya (pemimpin) yang membawa satu amalan bercanggah dengan nilai yang patut kita terapkan pada anak muda," katanya pada program Naratif Khas bersama Perdana Menteri terbitan RTM, malam ini.
Menjawab soalan, Anwar berkata, dengan pendekatan rahmah dan kasih sayang, beliau yakin sokongan anak muda akan kembali.
"Ramai (anak muda) ketika perjumpaan bukan sahaja di masjid ketika solat Jumaat tetapi di tempat lain anak muda ini dahagakan fakta, perubahan dan mahu nasib mereka terbela.
"Maklumat tidak sampai maka kita perlu baiki media sosial kita supaya sampaikan fakta di mana saya yakin anak muda yang juga anak kita akan berubah kalau mereka dapat menghadam kenyataan yang sebenarnya," katanya.
Pada masa sama, Anwar berkata media sosial dan media arus perdana harus diperbaiki dari segi penyampaian maklumat atau fakta, agar ia sampai kepada golongan muda di negara ini bagi mengelakkan mereka terpengaruh dengan trend negatif di media sosial.
Katanya, walaupun kadang-kala generasi muda terpengaruh dengan trend di media sosial, beliau yakin pemikiran golongan itu mungkin berubah jika berjaya menghadam kenyataan sebenar dengan bantuan media.
"Generasi muda ini anak-anak kita, kalau dia tidak dengar, ada kelemahan...kita tidak sampaikan dengan baik, umpamanya soal kaum dan agama. Itu sebahagiannya sahaja.
"Jangan kita runsing sangat, ini hanya episod sementara," katanya.