Jumaat, 6 Januari 2023 | 9:51pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada temu bual dalam rancangan Naratif Khas bersama Perdana Menteri terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada temu bual dalam rancangan Naratif Khas bersama Perdana Menteri terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini. - Foto BERNAMA

Mengekang perlakuan rasuah bukan politik dendam - PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pembanterasan rasuah dalam pentadbirannya akan turut membabitkan 'jerung' dengan beliau sendiri menyerahkan kebebasan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja.

Pada masa sama, Perdana Menteri menolak andaian tindakan membanteras rasuah itu adalah amalan politik dendam sebaliknya ia adalah sebahagian agenda reformasi yang diperjuangkannya selama ini.

Beliau juga menolak andaian tindakan membanteras rasuah hanya bertumpu kepada 'ikan bilis' kerana menyifatkan sudah ada 'jerung' yang dikenakan tindakan.

"Saya memberikan SPRM kelonggaran sepenuhnya dan wewenangya (kuasa), sedikit sebanyak sudah banyak (kes) terbongkar.

"Saya tidak mahu mengulasnya setiap kali, pihak penguatkuasaan diberikan kuasa, malah saya setiap minggu berpesan, saya tidak masuk campur jika seseorang disiasat (SPRM).

"Amalan pemunggahan kekayaan negara yang agak memualkan, kita ada pengalaman orang besar, ditangkap dan ini membuktikan tindakan tidak hanya tertumpu kepada ikan bilis," katanya.

Beliau berkata demikian pada Naratif Khas terbitan disiarkan secara langsung di RTM malam ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) pada temu bual bersama pengacara Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar (kiri) dan Ismail Adnan (dua darikiri) dalam rancangan Naratif Khas bersama Perdana Menteri terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini. - Foto BERNAMA

"(Siasatan) kes Jana Wibawa, Menara KL, pemunggahan kekayaan, saya akan pastikan ada tindakan pengajaran pada masa lalu dan sekarang," katanya.

"Memang ada orang yang takut disiasat. Tetapi apabila berbicara tata kelola, saya beri arahan yang jelas, apa (kes) yang berlaku, terus ada tuduhan (mahkamah), ambil tindakan.

"Soalnya kalau ada bukti yang jelas, ambil tindakan jangan peduli tohmahan, kerana ada puak (yang) guna agama, Islam, yang mengaitkan ada dendam.

"Tetapi negara ini rosak, tiada upaya bangkit semula, kalau kita kumpul (kekayaan), rumahnya (rakyat) separuh robek, apa makna kepada rakyat, tetapi ada pemimpin bersenang lenang memunggah kekayaan negara," katanya.

Berita Harian X