Jumaat, 6 Januari 2023 | 4:38pm

UMNO Bahagian Arau digantung kerana terlalu ramai terbabit sabotaj parti

KANGAR: Penggantungan UMNO Bahagian Arau oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam dibuat berikutan wujudnya pelbagai perbuatan sabotaj terhadap parti itu ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan UMNO Perlis, Syed Atif Syed Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat berikutan pihak UMNO Pusat menerima banyak aduan daripada ahli akar umbi bahagian itu berhubung kewujudan kelompok atau kumpulan yang didapati mensabotaj parti pada PRU15.

"Aduan akar umbi ini mengatakan bahawa banyak berlaku unsur sabotaj sewaktu PRU lalu yang dilakukan oleh individu dari kelompok ini dan dalam masa yang sama juga individu ini masih lagi menjadi ahli UMNO sehingga sekarang.

"Apa yang mengejutkan adalah sebahagian daripada individu ini juga ada yang memegang jawatan sebagai ahli jawatankuasa bahagian dan ada juga yang menjadi ketua cawangan, jadi individu dalam kumpulan ini hendak menggerakkan semula UMNO kerana mereka berada dalam jawatankuasa.

"Dalam masa yang sama juga, apabila UMNO di bahagian itu hendak perbaiki dan membina semula kekuatan untuk bangkit selepas tewas pada PRU lalu, tiba-tiba individu ini yang hendak diletakkan harapan untuk memulihkan kembali perjuangan UMNO yang masih berada dalam jawatankuasa menyebabkan banyak ahli akar umbi tak setuju dengan kelompok ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau berkata, perkembangan yang berlaku itu mendorong ahli UMNO akar umbi bahagian itu yang masih teguh dengan perjuangan parti membuat aduan di peringkat pusat.

"Apabila mereka tidak setuju dengan kumpulan ini, maka masing-masing terus mengemukakan aduan pada ibu pejabat.

"Saya difahamkan antara aduan kes yang dikemukakan adalah ada individu daripada kumpulan ini yang berkempen sehingga memakai baju logo Perikatan Nasional, bantu buka bilik gerakan parti lawan dan bermacam lagi walhal mereka itu adalah ahli UMNO," katanya.

Syed Atif berkata, sehubungan itu, pihak UMNO Pusat mengambil keputusan menggantung UMNO Bahagian Arau serta-merta.

"Di peringkat UMNO Pusat, mereka ada pilihan sama ada untuk membawa individu berkenaan ke lembaga disiplin parti atau menggantung terus bahagian berkenaan.

"Jika hendak membawa individu dalam kumpulan ini, ia bukanlah sedikit jumlahnya yang disyaki terbabit bahkan pula mereka ini memegang jawatan utama dalam UMNO Bahagian Arau.

"Oleh hal demikian, tindakan mudah dan tepat adalah menggantung dahulu UMNO bahagian itu yang menyebabkan jawatankuasa UMNO itu juga terbubar," katanya.

Beliau berkata, apabila jawatankuasa UMNO bahagian itu sudah tidak sah lagi maka Perhubungan UMNO Negeri Perlis dan Pusat akan melantik seorang Ketua Penaja UMNO Bahagian itu.

Selain itu juga, jawatankuasa yang dilantik selepas itu juga adalah jawatankuasa yang berstatus penaja.

Kemelut dalaman UMNO Bahagian Arau bermula sebelum PRU15 lalu selepas bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak dicalonkan semula pada PRU lalu.

Shahidan kemudian menyertai PN dan mengemukakan pencalonan untuk bertanding merebut kerusi Parlimen Arau itu yang kemudian berjaya dimenanginya.

Malah, faktor penyertaannya dalam PN juga membawa kepada jatuhnya kerajaan Barisan Nasional (BN) daripada pentadbiran Perlis untuk pertama kali dalam 65 tahun dan membawa kejayaan gemilang PN apabila 'menyapu' 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan di Perlis.

Namun begitu, Shahidan dan isterinya yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datin Seri Shamsiah Yassin akhirnya dilucutkan keahlian UMNO pada bulan lalu selepas didapati melanggar perlembagaan parti.

Berita Harian X