Jumaat, 6 Januari 2023 | 3:08pm
Pandemik COVID-19 antara cabaran digariskan sepanjang 2023. - Foto fail NSTP
Pandemik COVID-19 antara cabaran digariskan sepanjang 2023. - Foto fail NSTP

Umat Islam diingatkan bersedia hadapi cabaran 2023

Ipoh: Umat Islam diingatkan supaya bersedia menghadapi pelbagai cabaran tahun ini daripada pelbagai aspek termasuk politik, pandemik COVID-19, ekonomi, keselamatan makanan serta bahaya mengapi-apikan isu agama dan kaum.

Peringatan itu diberikan dalam khutbah Jumaat bertajuk 'Menghadapi Cabaran Tahun 2023' di seluruh masjid negeri hari ini.

Khutbah dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak itu menekankan kepentingan mengekalkan kestabilan politik supaya kerajaan yang mendapat sokongan rakyat boleh menegakkan keadilan dan membantu rakyat miskin tanpa memilih kasih.

"Semoga kerajaan yang baharu tidak akan mengulangi amalan yang tidak disenangi oleh rakyat, terutamanya amalan berbentuk pembaziran, penyalahgunaan khazanah negara dan wang rakyat.

"Ini termasuk melantik pemegang jawatan dalam kalangan orang yang tidak memiliki kepakaran yang menyebabkan berlaku kerosakan dan paling tidak disenangi amalan rasuah dan salah guna kuasa," katanya.

Khutbah turut menyarankan rakyat supaya mengambil langkah pencegahan yang berkesan bagi menangani lonjakan baharu virus COVID-19 supaya rakyat tidak perlu melalui perintah berkurung sekali lagi.

"Ia berikutan kemungkinan akan berlaku lonjakan semula wabak COVID-19, susulan peningkatan mendadak kes yang meledak di China dengan munculnya varian baharu.

"Ummah hendaklah berwaspada dan tidak mengabaikan amalan kesihatan yang disarankan untuk dipatuhi," katanya.

Khutbah itu juga menyatakan negara memerlukan langkah berkesan untuk membolehkan ekonomi negara berada dalam keadaan kukuh dan berjaya menangani masalah inflasi, nilai mata wang ringgit yang lemah, serta kos sara hidup yang tinggi.

"Pertumbuhan ekonomi tidak hanya berbentuk data dan angka yang indah di atas kertas, di sebaliknya pertumbuhan ekonomi yang benar-benar dapat dinikmati oleh rakyat.

"Ia dicapai melalui pentadbiran yang berupaya mengembalikan keyakinan, agar para pelabur sama-sama dapat membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi, selanjutnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan," katanya.

Menurut khutbah itu, pakar makanan meramalkan harga barangan makanan akan naik 10 peratus dan negara bakal berhadapan masalah kekurangan bekalan makanan.

"Mulakan budaya berhemah dan bersederhana ketika berbelanja. Terapkan sikap berjimat cermat dan mengelak pembaziran, serta bijak membezakan antara keperluan dan kemahuan," katanya.

Khutbah turut menyentuh bahaya mempermainkan isu agama dan perkauman kerana ia boleh mengancam ketenteraman awam.

"Ummah seharusnya menolak suara yang masih mahu mengapi-apikan semangat perkauman, persengketaan dan permusuhan antara rakyat berbilang kaum dan berlainan agama di negara ini.

"Semangat bekerjasama, saling memahami dan saling menghormati antara rakyat pelbagai kaum dan berbilang agama perlu dipupuk untuk menjadi warga Malaysia yang teguh bersatu.

"Bersama-samalah berusaha untuk memaju dan memakmurkan negara kita," katanya.

Berita Harian X