KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan tiada perubahan kerajaan Sabah, seperti yang didakwa berlaku sejak semalam.
Beliau berkata, keadaan setakat ini tenang dan tiada perkembangan lanjut mengenai perkara itu.
Katanya, beliau sudah menghubungi beberapa pemimpin Sabah termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor serta Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Anwar berkata, beliau juga sudah berbincang dengan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Look Siew Fook, berhubung perkara itu.
"Mengenai Sabah, saya sudah hubungi semua. Hajiji, Shafie, Bung Moktar. Saya juga berbincang dengan Zahid, Anthony Loke dan nampaknya, ia berada dalam keadaan tenang, sementara ini.
"Saya tidak fikir apa-apa perkembangan itu (perubahan kerajaan negeri)," katanya selepas solat Jumaat di Masjid Bukit Aman, hari ini.
Anwar berkata, pemimpin politik wajar berbincang dengan baik sekiranya ada isu tertentu.
"Saya cuma dimaklumkan beberapa isu dan saya minta Ketua Menteri berbincang dengan baik dengan rakan-rakan di Sabah," katanya..
Semalam, media melaporkan, cubaan menggulingkan Hajiji gagal dan 'Langkah Kinabalu' itu dikatakan ada kaitan dengan gerakan daripada WARISAN dan BN untuk menukar Hajiji.
Langkah itu yang didakwa diatur Bung Moktar, Shafie dan Salleh Keruak bagaimanapun gagal apabila sekurang-kurangnya 11 daripada 17 ADUN UMNO dikatakan menolak kerjasama dengan WARISAN dalam cubaan membentuk kerajaan negeri Sabah yang baharu.
Menurut sumber, 11 ADUN terbabit enggan memberikan sokongan kepada WARISAN, sebaliknya kekal menyokong Hajiji Noor untuk terus mengetuai kerajaan negeri.
Difahamkan, sokongan pemimpin terbabit kepada Hajiji dizahirkan pada pertemuan di kediaman Ketua Menteri itu malam tadi, iaitu selepas perjumpaan semua pemimpin UMNO di Bangunan UMNO Sabah, di sini, petang semalam.
Senarai 11 ADUN terbabit terdiri daripada Datuk Yakub Khan (Karambunai) yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah; Datuk Andi Muhamad Suryady Bandy (Tanjung Batu); Datuk Mohd Hamsan Ag Supain (Sungai Sibuga); Datuk James Ratib (Sugut); Datuk Harun Durabi (Bengkoka); Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin) dan Datuk Raimie Unggi (ADUN Dilantik).
Selebihnya ialah Datuk Ir Shahelmey Yahya yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (Tanjung Keramat); Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit); Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Suhaimi Nasir (ADUN Dilantik).
Keengganan mereka menyokong kerjasama dengan WARISAN, dikatakan antara punca sidang media Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dipercayai berkaitan pembentukan kerajaan baharu yang dijadualkan jam 4.30 petang semalam ditangguhkan.
Berdasarkan khabar angin semalam sidang media itu dijangka turut disertai Bung Moktar selepas beliau mengadakan perjumpaan dengan semua pemimpin UMNO negeri di Bangunan UMNO Sabah.
Selain itu, pendirian tujuh ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah yang menyatakan tidak memberi apa-apa akuan bersumpah (SD) kepada mana-mana pihak, turut dipercayai menjejaskan rancangan kerjasama WARISAN dan UMNO Barisan Nasional (BN).
Tujuh ADUN PH Sabah itu masing-masing empat dari DAP, diikuti dua Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang dari Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) iaitu ADUN Kadamaian yang juga Ahli Parlimen Penampang dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Ketujuh-tujuh mereka sebelum ini turut menyatakan sokongan kepada Hajiji untuk terus menerajui kerajaan negeri sehingga penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang berakhir.
Mereka turut hadir pada Majlis Ramah Mesra Tahun Baharu 2023 bersama ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) semalam dan sekali lagi menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Hajiji.
Kerjasama WARISAN dan UMNO BN memerlukan sokongan parti lain, khususnya PH bagi mencukupkan jumlah kerusi dalam cubaan untuk menukar kerajaan negeri.
Ketika ini, WARISAN memiliki 19 kerusi, manakala UMNO BN 17 kerusi menjadikan jumlah kedua-duanya 36 kerusi daripada 79 kerusi yang ada sekarang termasuk enam kerusi ADUN Dilantik.
Jumlah itu tidak mencukupi tanpa sokongan parti lain, khususnya PH yang mempunyai tujuh kerusi DUN.
Sementara itu, GRS ketika ini mempunyai 29 kerusi, masing-masing 15 kerusi bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), tujuh dari Parti Bersatu Sabah (PBS), enam dari Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan satu dari Parti Maju Sabah (SAPP).
Selain itu, GRS turut disokong seorang ADUN Bebas dan seorang ADUN Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).
Dengan sokongan tujuh ADUN PH, GRS memiliki kekuatan 38 kerusi atau 49 kerusi jika termasuk sokongan 11 ADUN UMNO.
Menurut sumber, Bung Moktar bersama Pengarah Jentera Pilihan Raya BN Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak dikatakan merancang untuk menukar kerajaan negeri dengan kerjasama WARISAN atas sebab tidak puas hati terhadap kepemimpinan Hajiji dalam beberapa perkara.
Berikutan itu, kedua-dua mereka dikatakan membawa semua ADUN UMNO untuk menyokong rancangan itu dan melakukan cubaan menukar kerajaan bersama Mohd Shafie semalam, namun gagal apabila ada ADUN yang tidak bersetuju.
Ketika disapa media selepas keluar dari Bangunan UMNO Sabah petang semalam, Bung Moktar bagaimanapun menjelaskan tiada apa-apa yang dibincangkan pada perjumpaan itu, selain mengatakan ia hanya perjumpaan untuk membincangkan masa depan parti.