KLANG: Kapal pertama peronda luar pesisir (OPV) dijangka siap untuk diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada Mac ini.
OPV kedua pula dijangka diterima Maritim Malaysia selewat-lewatnya Oktober ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata komitmen itu dapat direalisasikan dengan suntikan pinjaman tambahan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kalau ikutkan atas kertas, komitmen asal OPV pertama sepatutnya Mac tahun ini, saya tadi sudah diberikan taklimat dan sudah tentu ada sedikit sebanyak potensi beralih untuk beberapa tempoh. Jadi ini patutnya Mac dan saya minta tidak lagi tertangguh.
"Saya tadi menyebut dengan jelas pendirian kerajaan untuk tarikh serahan ini tidak lagi diubah atau dilanjut kepada satu tempoh panjang atas alasan yang tidak boleh lagi kita kompromi dan pasukan kerja tadi memahami dengan baik," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja dan meninjau status pembinaan OPV di limbungan syarikat TH Heavy Engineering Berhad (THEE) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, timbalannya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd Zubil Mat Som.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pemberian pinjaman tambahan RM152.6 juta bagi pembinaan OPV milik Maritim Malaysia.
Perdana Menteri dipetik berkata, pinjaman itu terpaksa diberikan bagi memastikan projek pembinaan tiga kapal itu siap.
Saifuddin Nasution berkata, beliau sendiri sudah mendengar perkara yang menjadi kekangan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedia membantu mempermudahkan kekangan terbabit.
"Saya masuk bilik kawalan tadi (OPV pertama), semua komponen utama sudah ada, akan ada bot pengiring...akan sampai, senjata...semua itu sangkut kerana aspek bayaran dan sekarang dengan suntikan baharu, saya harap aspek itu tidak lagi jadi masalah.
"OPV kedua sama juga ada progres yang kita dapat lihat secara fizikal..ikut jadual pada Oktober ini (siap dan serah) tetapi saya minta supaya kapal yang pertama ini dapat disiapkan terlebih dahulu.
"Saya tak fokus kepada aspek siasatan, saya turun segera selepas Kabinet beri suntikan pinjaman baharu dan pada masa sama berinteraksi dengan pasukan yang terbabit dalam pembinaan (kapal)," katanya.
Beliau berkata, THHE turut memberi komitmen dalam menyiapkan pembinaan kapal berkenaan manakala kerajaan komited untuk permudahkannya namun dengan beberapa nasihat dan syor.
"Sebagai pelanggan KDN khususnya Maritim Malaysia sudah tentu memiliki harapan besar kerana kapal ini mempunyai keupayaan yang tinggi, keupayaan belayar melebihi 21 hari yang akan menjadi aset utama Maritim Malaysia dalam meningkatkan keupayaan mereka.
"Saya dan timbalan saya akan ikuti perkembangan termasuk memastikan suntikan (pinjaman tambahan) ini akhirnya membantu kepada percepatkan penyerahan kapal.
"Tak boleh lagi berlaku masalah yang melengah dan melambatkan," katanya.
Ditanya mengenai peratusan pembinaan semua OPV, Saifuddin Nasution sekadar meminta wartawan melihat sendiri bentuk fizikal kapal berkenaan.
Terdahulu, Saifuddin, timbalannya dan pengurusan tertinggi KDN meluangkan masa lebih dua jam meninjau proses pembinaan OPV terbabit.
Mereka turut meninjau bahagian dalam OPV pertama itu namun lawatan terbabit tidak disertai wakil media.
Laporan media sebelum ini menyebut, syarikat induknya THHE yang diklasifikasikan sebagai PN17 menanggung kerugian terkumpul RM629.8 juta dan hutang bernilai RM165 juta sehingga menimbulkan persoalan mengenai kemampuan syarikat itu menyiapkan OPV seperti dijanjikan.
Kapal OPV berkenaan direka bentuk mengikut rekaan Damen 1800, berkeupayaan melaksanakan operasi laut dalam sehingga tempoh maksimum 21 hari tanpa perlu kembali ke pangkalan bagi menambah bekalan.
OPV berukuran 83 meter panjang dengan 13.7m lebar, berkemampuan melakukan pengawasan jarak jauh sehingga kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta kawasan di luar jangkauan kapal ronda kecil.
Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan mendedahkan timbul tanda tanya mengenai status tiga kapal OPV Maritim Malaysia yang belum diterima.
Maritim Malaysia sepatutnya menerima sebuah kapal OPV pada Ogos lalu selepas kerajaan memberi lanjutan hingga 18 bulan kepada syarikat pembina untuk menyiapkan tiga kapal OPV berkenaan.