Khamis, 5 Januari 2023 | 5:34pm
 Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

Varian XBB boleh dikesan melalui ujian COVID-19

PUTRAJAYA: Jangkitan dalam kalangan pesakit COVID-19 yang dijangkiti varian XBB masih boleh dikesan melalui ujian RTK-Ag atau RT-PCR yang biasa dilakukan sejak kira-kira empat tahun lalu.

Ia sekali gus menidakkan satu mesej berangkai yang tersebar melalui media sosial yang didakwa berita dari Singapura membabitkan jangkitan varian XBB yang dikatakan tidak boleh dikesan melalui ujian calitan di kerongkong dan hidung.

Pensyarah di Kluster Infektomik, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Kumitaa Theva Das, berkata jangkitan varian XBB yang menyumbang kepada 50 peratus kes di Singapura ketika negara jiran itu mengalami lonjakan sebelum ini, didapati mudah berjangkit seperti subvarian Omicron yang lain.

Katanya, kebanyakan kes di Singapura ketika itu sama ada tidak bergejala atau pesakit mengalami gejala sederhana.

"Mereka yang dijangkiti dengan varian XBB mengalami demam dan sakit tekak, simptom yang serupa dengan pesakit dijangkiti subvarian Omicron yang lain.

"Ia juga boleh dikesan melalui ujian RTK-Ag dan RT-PCR, serupa dengan amalan lazim sebelum ini," katanya kepada BH.

Dr Kumitaa berkata, di negara ini, jangkitan membabitkan varian XBB mulai dikesan pada September tahun lalu.

Beliau berkata, sehingga kini ia sudah dikesan di seluruh negara.

Katanya, varian XBB berevolusi daripada varian Omicron dan dikesan mempunyai sekurang-kurangnya tujuh mutasi baharu pada pancang sel SARS-CoV-2.

"Ini menyebabkan subvarian ini lebih sukar untuk dikesan oleh sistem ketahanan badan kita. Lebih lama virus ini tersebar tatkala COVID-19 kini memasuki tahun keempat, akan lebih banyak mutasi berlaku, dan ia semakin licik menghindari sistem ketahanan diri kita dan menjangkiti sel," katanya.

Pada masa sama, Dr Kumitaa berkata, tiada bukti yang menunjukkan berlaku kesan yang lebih buruk atau kematian dalam kalangan mereka yang dijangkiti dengan varian XBB.

Namun, katanya, mereka yang tidak pernah dijangkiti lebih terdedah untuk dijangkiti varian XBB.

Begitu juga jika suntikan vaksin terakhir lebih daripada setahun, seseorang individu itu lebih berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan.

Beliau berkata, seseorang yang pernah dijangkiti dengan jenis terdahulu seperti Alpha, Beta atau Delta, mereka juga berkemungkinan besar mendapat jangkitan semula.

"Berdasarkan kepada data dari Singapura, kira-kira 17 peratus daripada kes jangkitan baharu di negara itu adalah jangkitan semula," katanya.

Berita Harian X