TUMPAT: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bersedia melaksanakan semula sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Bagaimanapun Ketua Pengarah, Datuk Zazuli Johan, berkata keputusan itu terpulang kepada kerajaan termasuk dari segi kadar yang akan dikenakan.
"Kita akan 'on' dan bersedia untuk laksanakan semula kalau kerajaan kata okey namun kadar itu terpulang kepada kerajaan.
"Kami tak boleh untuk katakan (sistem GST) itu baik atau tidak tapi keputusannya bergantung kepada kerajaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mengenai dakwaan pemansuhan GST oleh kerajaan terdahulu menyebabkan kegiatan ekonomi gelap dan bawah tanah atau 'over shadow' kembali aktif, Zazuli bersetuju dengan dakwaan itu namun menyerahkan kepada kerajaan untuk keputusan seterusnya.
Media sebelum ini melaporkan, Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, antara aktiviti gelap atau bawah tanah untuk mengelak membayar cukai adalah menipu taksiran cukai dan menjalankan perniagaan tidak sah.
Sehubungan itu katanya, GST perlu kembali dilaksanakan selain mengadakan rundingan bersama syarikat berkaitan dalam mengekang aktiviti 'over shadow' itu.
Terdahulu Zazuli yang diiringi Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long hadir di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor pada program khidmat bakti bersama masyarakat Siam Tumpat.
Beliau menyampaikan bantuan beras serta kain batik kepada 300 penerima yang terdiri daripada masyarakat Siam di sini yang terjejas banjir baru-baru ini selain merapatkan hubungan komuniti masyarakat bersama jabatan itu.
Menurutnya kerjasama komuniti setempat sebagai mata dan telinga kerajaan amat penting dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan terutama di sempadan negara.
"Selain penugasan pegawai dan anggota yang berterusan, peranan masyarakat setempat juga sangat penting dan sebagai contohnya di Kelantan yang mana pungutan hasil menerusi kutipan cukai pada tahun lalu adalah sebanyak RM204.91 juta dan itu satu angka yang besar.
"Begitu juga di peringkat negara, pada 2021 kita hanya mengutip sebanyak RM41 bilion tapi ia meningkat menjadi RM53 bilion pada 2022.
"Orang ramai digesa membantu kami dalam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain kerana ia bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.