KAJANG: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sudah menerima taklimat berhubung seorang pegawai polis berpangkat inspektor yang didakwa merogol dan amang seksual terhadap remaja di Kedah.
Beliau berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani sudah memberi penerangan mengenai perkara berkenaan kepadanya semalam.
"Saya menyerahkan perkara berkenaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan dan percaya polis ada asas yang kukuh untuk melakukannya," katanya ketika sidang media selepas melawat ke Ibu Pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang pegawai polis berpangkat Inspektor didakwa empat tuduhan merogol dan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan di bilik pejabatnya pada 28 Disember lalu.
Tertuduh, Mohd Maliki Azmi, 35, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu selepas dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan yang kini berusia 16 tahun dengan kerelaan mangsa menggunakan kedudukan berkuasa dimilikinya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 6.30 petang 28 Disember tahun lalu, dalam bilik pegawai penyiasat jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan.