Khamis, 5 Januari 2023 | 10:09am
Kapal peronda luar pesisir pertama milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. – Foto hiasan NSTP
Kapal peronda luar pesisir pertama milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. – Foto hiasan NSTP

2 kapal peronda Maritim boleh siap tahun ini susulan suntikan dana kerajaan

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya dua daripada tiga kapal peronda luar pesisir (OPV) boleh disiapkan tahun ini susulan kelulusan pinjaman RM152.6 juta yang diumumkan Perdana Menteri, semalam.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd Zubil Mat Som, berkata dua kapal itu dapat mempertingkatkan operasi dan keberadaan agensi itu di Laut China Selatan.

Katanya, kapal ini dapat melaksanakan operasi di laut selama 21 hari, malah berupaya menghadapi cuaca dan laut bergelora.

"Saya menyambut baik dan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kelulusan ini," katanya, hari ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan pemberian pinjaman tambahan RM152.6 juta bagi pembinaan OPV milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Anwar dipetik berkata, pinjaman itu terpaksa diberikan bagi memastikan projek pembinaan tiga kapal itu siap.

Maritim Malaysia sepatutnya menerima sebuah kapal OPV pada Ogos tahun lalu selepas kerajaan memberi lanjutan sehingga 18 bulan kepada syarikat TH Heavy Engeneering Berhad (THEE) untuk menyiapkan tiga kapal berkenaan.

Pada masa sama, Anwar meminta semua badan penguat kuasa meneruskan siasatan dan memastikan pematuhan peraturan bagi semua perolehan, sama ada di Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF).

"Ini supaya hal berkaitan keselamatan tidak diambil kesempatan, bukan saja menyebabkan kerugian tetapi juga pelaksanaan yang sangat lemah.

"Ia (projek) mesti diselamatkan mengikut jadual dan tidak melepaskan sesiapa yang salah guna kuasa dan mengaut kekayaan daripada projek ini, tanpa siasatan," kata Anwar dalam sidang media semalam.

Berita Harian X