Rabu, 4 Januari 2023 | 3:16pm
Ahli Parlimen gesa Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 perlu dibawa dan dibentangkan ke Parlimen segera. - Foto hiasan
Ahli Parlimen gesa Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 perlu dibawa dan dibentangkan ke Parlimen segera. - Foto hiasan

MP gesa RUU IPCMC dibentang dalam sidang Parlimen kali ini

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 perlu dibawa dan dibentangkan ke Parlimen segera.

Gesaan itu dibuat Presiden MUDA, Syed Saddiq Abdul Rahman sambil menjelaskan ia penting bagi membolehkan sebarang aduan membabitkan kepentingan orang awam tidak hanya dibiarkan sunyi sepi tanpa khabar berita, selain tiada tindakan diambil.

Pembentangan RUU IPCMC juga bukan hanya bertujuan melakukan pertuduhan dan menghukum pihak berkuasa semata-mata.

"Saya menyeru kerajaan iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan juga Kementerian Undang-Undang dan Reformasi untuk mengambil tindakan sewajarnya dan juga menggesa pihak kerajaan kembali membentangkan RUU IPCMC pada sidang Dewan Rakyat yang akan bermula Februari ini.

"RUU IPCMC bukan hanya bertujuan melakukan pertuduhan dan menghukum pihak berkuasa semata-mata. Penubuhan badan yang lebih bebas, adil dan telus di bawah RUU IPCMC ini akan bantu mengembalikan dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pasukan polis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gesaan itu dibuat beliau susulan kes seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang mendakwa dirogol oleh pegawai polis ketika dipanggil untuk membantu siasatan berhubung laporan polis yang dibuat oleh remaja terbabit.

Mengulas lanjut, beliau berkata, KDN harus mencontohi langkah proaktif yang diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memastikan ketulusan pegawai penguat kuasa kesihatan serta menjaga kebajikan mereka dengan melengkapi anggota-anggota ini dengan pemakaian kamera badan.

"IPCMC harus dibentangkan semula di dalam Dewan Rakyat untuk penelitian lanjut daripada semua Ahli-Ahli Parlimen agar kejadian seperti ini tidak berulang lagi," katanya.

Media kelmarin melaporkan, seorang remaja perempuan membuat laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa rogol pegawai berpangkat inspektor ketika berada di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Alor Setar, Kedah Rabu minggu lalu.

Laporan polis berkenaan dibuat remaja berusia 16 tahun Sabtu lalu dan dia mendakwa dirogol inspektor itu ketika berada dalam bilik pejabat pegawai terbabit di IPD berkenaan kira-kira jam 6.30 petang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan laporan dan penahanan pegawai berkenaan namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan berhubung kejadian itu masih dijalankan.

Berita Harian X