Rabu, 4 Januari 2023 | 2:50pm

Dana tambahan siapkan kapal maritim - Anwar

PUTRAJAYA: Kerajaan memberi pinjaman tambahan RM152.6 juta bagi pembinaan kapal peronda luar pesisir (OPV) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pinjaman itu terpaksa diberikan bagi memastikan projek pembinaan tiga kapal itu siap.

"Daripada tinjauan kita, projek ini boleh disiapkan, sekurang-kurangnya kapal pertama pada tahun ini dan ini dipantau," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan isu status tiga kapal OPV Maritim Malaysia yang masih belum diterima.

Maritim Malaysia sepatutnya menerima sebuah kapal OPV pada Ogos tahun lalu selepas kerajaan memberi lanjutan sehingga 18 bulan kepada syarikat TH Heavy Engeneering Berhad (THEE) untuk menyiapkan tiga kapal berkenaan.

Pada masa sama, Anwar meminta semua badan penguat kuasa meneruskan siasatan dan memastikan pematuhan peraturan bagi semua perolehan, sama ada di Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF).

"Ini supaya hal berkaitan keselamatan tidak diambil kesempatan, bukan saja menyebabkan kerugian tetapi juga pelaksanaan yang sangat lemah.

"Ia (projek) mesti diselamatkan mengikut jadual dan tidak melepaskan sesiapa yang salah guna kuasa dan mengaut kekayaan daripada projek ini, tanpa siasatan," katanya.

Kapal peronda luar pesisir pertama milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. – Foto hiasan NSTP
Kapal peronda luar pesisir pertama milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. – Foto hiasan NSTP
Berita Harian X