Rabu, 4 Januari 2023 | 1:16pm

Tidak rugi melabur dalam ASB

KUALA LUMPUR: Tanggapan umum bahawa pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) menerusi pembiayaan adalah rugi ketika dividen rendah, adalah kurang tepat dan tidak wajar, demikian kata perancang kewangan bertauliah.

Ketua Pegawai Eksekutif KAC Wealth Sdn Bhd, Khairi Aizat Hasan, menegaskan berdasarkan sejarah, pelaburan dalam ASB, dana unit amanah berharga tetap RM1 seunit ditawarkan Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) itu tidak pernah rugi dan belum pernah lagi tiada dividen diumumkan.

Beliau berkata, apa yang berlaku adalah jumlah pulangan mengecil sedikit ketika kadar dividen turun daripada tahun sebelumnya menyebabkan ada yang beranggapan 'melabur ASB rugi', terutama apabila jumlah dividen yang diperoleh tidak mencukupi untuk menampung pembayaran ansuran bulanan pembiayaan ASB bagi yang menggunakan teknik rolling dividen.

Beliau menjelaskan, pelabur ASB yang menggunakan kaedah pembiayaan sepatutnya perlu melihat pulangan pelaburan (ROI) secara menyeluruh, yang mana bukan saja tertumpu kepada jumlah dividen, tetapi juga nilai serahan atau 'surrender value' jika mereka membatalkan pembiayaan ketika itu.

Katanya, nilai serahan adalah tunai yang diperoleh apabila jumlah pembiayaan ditolak baki pembiayaan ketika pembiayaan dibatalkan.

"Dalam mengira untung atau rugi pelaburan ASB menerusi pembiayaan, ia perlu mengambil kira nilai serahan dan jumlah dividen, yang mana kebanyakan pelabur terlepas pandang akan pengiraan nilai serahan.

"Contohnya, pelabur ambil jumlah pembiayaan ASB RM100,000, dia dapat dividen RM5,000 dan jumlah ansuran setahun sebanyak RM6,000, jadi jumlah RM1,000 yang perlu ditambah untuk tampung jumlah ansuran itu dikatakan rugi.

"Sedangkan nilai serahan ketika pembiayaan dibatalkan, pelabur berkenaan boleh dapat lebih daripada RM1,000, sekali gus mereka tidak rugi apa-apa," katanya mengulas tanggapan melabur ASB menerusi pembiayaan adalah rugi apabila kadar dividen turun sedikit daripada tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif KAC Wealth Sdn Bhd, Khairi Aizat Hasan. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Ketua Pegawai Eksekutif KAC Wealth Sdn Bhd, Khairi Aizat Hasan. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Baru-baru ini, ASNB mengumumkan agihan pendapatan 3.35 sen seunit dan bonus 1.25 sen seunit, dengan jumlah keseluruhan 4.60 sen seunit kepada pemegang unit ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu juga mengumumkan bonus tambahan 0.50 sen seunit bagi 30,000 unit pertama yang dipegang oleh pemegang unit ASB.

Pada 2021, agihan pendapatan ASB adalah 5.0 sen seunit, merangkumi agihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus sebanyak 0.75 sen seunit.

Dalam pada itu, Khairi Aizat yang memiliki pengalaman lapan tahun berkhidmat di tiga bank utama di negara ini, tidak menolak situasi rugi boleh berlaku jika pelabur yang mengambil pembiayaan ASB tanpa membuat pengiraan secara tepat dan salah memilih strategi.

Beliau berkata, situasi rugi boleh berlaku jika pelan takaful yang diambil berlebihan berbanding tempoh pelaburan yang diinginkan.

Beliau yang arif dalam menggunakan instrumen bank sebagai alat bantuan untuk penstrukturan semula hutang berkata, seeloknya pelan takaful diambil seminimum yang mungkin dan mencukupi dengan tempoh pelaburan yang diinginkan.

"Jika pelan takaful diambil secara berlebih-lebihan, ia akan menjejaskan nilai serahan apabila pembiayaan dibatalkan, yang mana pelabur perlu mengeluarkan dana tambahan untuk menampung kekurangan nilai atau short fall yang wujud.

"Sebagai contoh, katakan mereka mengambil tempoh pembiayaan 30 tahun, namun merancang untuk jual semula sijil pada tahun kelima.

"Sewajarnya, mereka hanya ambil takaful untuk tempoh lima tahun, bukan 30 tahun kerana premium takaful akan jadi tinggi mengakibatkan ansuran bulanan serta kadar faedah perlu dibayar juga menjadi lebih tinggi," jelasnya.

Mengulas lanjut, Khairi Aizat berkata, strategi ideal bagi mengoptimumkan pelaburan ASB ialah dengan kuasa kompaun, yang mana dividen tidak dikeluarkan. Ini membolehkan pelaburan dapat terus berkembang kerana modal pelaburan akan terus menambah jika dibiarkan untuk jangka panjang

Beliau berkata, pembiayaan ASB juga sesuai untuk pelabur pelbagai peringkat umur, yang mana bagi golongan muda yang melabur pada usia 18 tahun, pelaburan yang diperoleh mereka dalam tempoh lima tahun boleh digunakan untuk deposit rumah pertama, deposit kenderaan serta dana untuk perkahwinan.

Katanya, bagi pelabur yang berusia lebih 40 tahun, pelaburan yang diperoleh boleh digunakan untuk persediaan persaraan.

Mengulas kesan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) terhadap pembiayaan ASB, Khairi Aizat berkata, paras OPR semasa pada 2.75 peratus sebenarnya masih rendah berbanding 3 peratus pada 2019, iaitu ketika sebelum pandemik.

Beliau berkata, sebagai contoh, dengan kenaikan sebanyak 25 mata asas atau 0.25 peratus OPR, ia membabitkan kenaikan tambahan RM10 sebulan bagi pembiayaan ASB, berjumlah RM100,000 untuk tempoh pembiayaan 30 tahun.

"OPR dinaikkan sebanyak empat kali pada 2022, maka jumlah kenaikan tambahan keseluruhan adalah RM40 sebulan bagi pembiayaan berjumlah RM100,000 untuk tempoh pembiayaan 30 tahun.

"Jumlah ini bukan terlalu besar untuk mereka yang mampu, namun ada segelintir pelabur mengambil keputusan untuk membatalkan pembiayaan mereka kerana kenaikan berkenaan," katanya.

Beliau turut menegaskan, pelaburan dalam ASB juga boleh dikatakan sebagai kalis inflasi berikutan dividen yang diumumkan setakat ini, lebih tinggi berbanding kadar inflasi tempatan.

Berita Harian X