Rabu, 4 Januari 2023 | 12:02pm
Foto fail EPA
Foto fail EPA

Fahmi mahu DNB perjelas 50 peratus capaian liputan 5G

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil hari ini meminta Digital Nasional Berhad (DNB) menjelaskan bagaimana syarikat itu membuat kesimpulan bahawa pelaksanaan liputan rangkaian 5G di negara ini sudah mencapai hampir 50 peratus.

Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) belum menentusahkan maklumat berkenaan.

"Saya fikir DNB perlu menjelaskan bagaimana mereka memperoleh angka tersebut. MCMC (SKMM) belum lagi menentusahkan maklumat ini.

"Lain kali, saya rasa DNB perlu menentusahkan sebelum menerbitkannya," katanya sebagai respons balas kepada ciapan yang mendakwa angka yang diterbitkan oleh DNB itu adalah palsu.

Isnin lalu, Ketua Pegawai Operasi DNB, Nasution Mohamed dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan rangkaian 5G di seluruh negara telah mencapai hampir 50 peratus di kawasan berpenduduk pada akhir 2022, sekali gus melepasi sasaran awal sebanyak 40 peratus.

Nasution berkata, rangkaian itu kini sudah mencapai 15 juta rakyat Malaysia membabitkan 3,900 tapak dan bakal menjangkau lebih 30 juta orang serta perniagaan apabila dilaksanakan sepenuhnya.

Beliau juga berkata, DNB kini memberi tumpuan penuh ke arah mencapai komitmen 80 peratus kawasan berpenduduk pada akhir 2024 atau lebih awal. – BERNAMA

Berita Harian X