Selasa, 3 Januari 2023 | 1:20pm
Keceriaan di tempat kerja mengelakkan tekanan dalam kalangan pekerja. - FOTO hiasan
Keceriaan di tempat kerja mengelakkan tekanan dalam kalangan pekerja. - FOTO hiasan

Mental sihat, produktiviti meningkat

MENTAL yang tidak sihat memberi kesan kepada produktiviti dan prestasi kerja, serta membawa impak negatif kepada kualiti hidup secara keseluruhan.

Di Amerika Syarikat, tahap kesihatan mental yang rendah telah mengakibatkan kos kepada ekonomi dengan jumlah AS$31 – 51 bilion setiap tahun akibat penyusutan produktiviti.

Kesihatan mental merujuk kepada keadaan emosi, psikologi dan sosial seseorang individu yang boleh mempengaruhi rutin kehidupan dan pekerjaan, pemikiran, perasaan dan tingkah laku serta tindakan dan komunikasi individu dengan orang lain. 

Kementerian Kesihatan (KKM) mentakrifkan kesihatan mental sebagai keadaan yang sejahtera, yang mana seseorang individu sedar mengenai keupayaan diri, boleh mengendali tekanan dengan baik dan bekerja secara produktif, serta mampu menyumbang kepada keluarga dan masyarakat. 

Kesihatan mental membabitkan keseimbangan fizikal, mental dan kerohanian dalam kehidupan. Kesihatan mental yang terjejas boleh dilihat melalui kesan negatif fisiologikal, tingkah laku dan psikologi seseorang individu.

Di tempat kerja, di mana pekerja mempunyai tahap kesihatan mental yang rendah, syarikat menghadapi masalah pemberhentian dan pertukaran pekerja yang tinggi dan ketidakhadiran pekerja yang lebih kerap. Ini tentu sekali memberi kesan kepada prestasi, produktiviti dan operasi syarikat. 

Kesihatan mental banyak bergantung kepada faktor individu, sosial dan persekitaran, serta boleh dipengaruhi faktor biologikal dan psikologikal. Masalah kesihatan mental, contohnya kemurungan, boleh disebabkan oleh keadaan sosioekonomi, perubahan persekitaran dan sosial secara mendadak, tekanan di tempat kerja dan penyakit fizikal. 

Pandemik COVID-19 memberi kesan yang mendalam kepada tahap kesihatan mental rakyat Malaysia. Perubahan rutin harian dan pekerjaan secara mengejut, simptom wabak COVID-19, kehilangan orang tersayang, masalah kewangan, dan kehilangan pekerjaan menjadi antara punca tekanan dan kesihatan mental yang terjejas dalam jangka masa ini. 

Kes bunuh diri meningkat dengan kadar 81 peratus kepada 1,142 kes pada 2021, berbanding 631 kes pada 2020. Data Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2021 juga melaporkan, terdapat tiga hingga empat kematian akibat bunuh diri dalam sehari. 

Mulai Mac 2020, 74 peratus daripada lebih 300,000 panggilan yang diterima melalui talian bantuan psikososial KKM adalah berkaitan sokongan emosi atau kaunseling disebabkan tekanan melampau, kemurungan dan kerisauan akibat pandemik. 

Jumlah penduduk yang terkesan akibat kesihatan mental yang terjejas amat membimbangkan.

MPC bantu tangani masalah kesihatan mental melalui kaedah Behavioural Insights (BI) 

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melalui Nexus Produktivitas Penjagaan Kesihatan Swasta (PHPN) sedang meneliti rangka tindakan yang bersesuaian bagi membantu menangani masalah kesihatan mental di Malaysia. 

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman, berkata MPC bertindak membantu dan memudah cara inisiatif bagi menangani masalah kesihatan mental kerana sedar impak besarnya terhadap produktiviti dan kesejahteraan rakyat. 

"Bertepatan dengan tanggung jawab MPC dalam memacu penerapan kaedah BI pada dasar awam, MPC sedang meneliti langkah dan intervensi BI yang bersesuaian bagi menangani masalah dan isu berkaitan kesihatan mental. 

MPC sudah berkongsi cadangan ini dengan pegawai Kementerian Kesihatan. 

"Kesihatan mental mempunyai hubung kait rapat dengan tingkah laku dan psikologi individu. Intervensi BI yang berteraskan pemahaman mendalam mengenai tindakan dan tingkah laku manusia dari aspek sains kognitif, sains sosial dan psikologi dengan bukti empirikal, dilihat dapat menyokong dasar dan peraturan kerajaan berkaitan kesihatan mental. 

Intervensi perlu menyasarkan semua pihak sama ada pesakit atau pihak ketiga seperti ibu bapa, majikan, rakan sekerja dan pihak sekolah, serta masyarakat awam," katanya. 

Beliau berkata, antara aspek yang mesti ditangani melalui intervensi BI adalah tanggapan dan pemikiran orang ramai yang menganggap masalah dan penyakit mental sebagai satu stigma dalam masyarakat. 

"Orang ramai juga perlu didorong untuk mendapatkan bantuan dan nasihat awal sekiranya mengalami simptom kemurungan dan tekanan hidup," katanya. 

Abdul Latif berkata, PHPN baru-baru ini juga mengadakan misi lawatan penanda aras ke Australia bagi mendalami amalan terbaik mengenai penjagaan kesihatan mental. 

Katanya, antara perkara yang boleh dilaksanakan oleh Malaysia ialah langkah pencegahan. 

"Kerap kali, penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan, hospital dan klinik contohnya, merawat individu yang sudah jatuh sakit. Model pencegahan dalam menangani masalah kesihatan mental oleh hospital di Australia boleh diguna pakai di negara kita – prevention is worthier than cure (mencegah lebih baik daripada mengubati). Fokusnya adalah kepada belia dan anak muda, yang dikenal pasti sebagai golongan tertinggi menghadapi masalah kesihatan mental. 

"Usaha menggalakkan 'help-seeking behaviour' perlu dilaksanakan supaya penyakit mental boleh dikesan awal dan dicegah daripada menjadi semakin buruk. Intervensi BI boleh diguna pakai untuk tujuan ini. 

"Penggunaan platform digital juga boleh dipergiatkan bagi mengurangkan stigma kesihatan mental dan membantu pesakit. Namun, harus ada usaha semak dan imbang bagi memastikan maklumat dan kualiti perkhidmatan yang disampaikan adalah bertepatan dengan keperluan dan peraturan," katanya. 

Masalah kesihatan mental semakin serius

PHPN di bawah seliaan MPC sedang merangka beberapa tindakan bagi memastikan perkhidmatan penjagaan kesihatan mental boleh didapati di hospital dan klinik swasta. 

Ini akan memberi akses yang lebih mudah dan meluas kepada orang ramai yang memerlukan bantuan dalam kesihatan mental. 

Dalam jangka masa panjang, Malaysia perlu bersedia dengan lebih banyak pusat penjagaan kesihatan mental swasta bagi mendepani masalah ini yang semakin serius. 

Liberalisasi perkhidmatan penjagaan kesihatan mental melalui hospital dan klinik swasta akan menyokong ekosistem penjagaan kesihatan mental secara keseluruhan.

Pengerusi PHPN, Datuk Dr Jacob Thomas, berkata kerjasama awam-swasta mempunyai potensi yang besar untuk menyumbang dalam menangani masalah kesihatan mental. 

"Public-private partnership (PPP) (kerjasama awam-swasta) boleh meningkatkan produktiviti dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan. Pada 2021, pertumbuhan produktiviti subsektor ini meningkat dengan tinggi pada 8.8 peratus. Ini disebabkan oleh peningkatan usaha sama awam-swasta dalam melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan," katanya. 

MPC juga menyambut baik usaha proaktif kerajaan membuat semakan semula akta dan peraturan berkaitan kesihatan mental. 

Langkah bukan peraturan seperti intervensi BI juga perlu dilaksanakan dengan meluas bagi menambah baik usaha menangani isu dan masalah kesihatan mental di Malaysia. 

Pemegang taruh perlu mempertimbangkan dengan serius merawat masalah tingkah laku dengan sains tingkah laku. 

Berita Harian X