Selasa, 3 Januari 2023 | 1:16pm

Malaysia penuhi permintaan Pakistan, hantar pulang wartawan Ogos lalu

KAJANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan wartawan warga Pakistan, Syed Fawad Ali yang didakwa hilang sebelum ini, sudah dihantar pulang ke negara asalnya pada Ogos tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Kerajaan Malaysia menerima permohonan rasmi daripada Kedutaan Pakistan bagi mengesan serta menghantar pulang Syed Fawad pada bulan sama.

"Bertindak atas permohonan yang dibuat melalui saluran diplomatik berkenaan, kerajaan ketika itu mengesan keberadaan Syed Fawad dan seawal minggu ketiga Ogos lalu, beliau sudah dihantar pulang ke Islamabad.

"Saya boleh memberi pengesahan berdasarkan rekod rasmi dan tindakan yang kita buat bersesuaian dengan permintaan oleh Kerajaan Pakistan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan rawatan rasmi ke Jabatan Penjara Malaysia, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abd Aziz; dan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhamad.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersalaman dengan kakitangan Jabatan Penjara Malaysia ketika melakukan lawatan rasmi beliau di Jabatan Penjara Malaysia hari ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersalaman dengan kakitangan Jabatan Penjara Malaysia ketika melakukan lawatan rasmi beliau di Jabatan Penjara Malaysia hari ini.

Media sebelum ini melaporkan isteri Syed Fawad yang hanya mahu dikenali sebagai Syeda, meminta bantuan untuk mengesan suaminya yang didakwa hilang di negara ini sejak 23 Ogos lalu.

Syed Fawad yang melarikan diri dari negara asalnya ke Malaysia pada 2009 untuk mendapatkan perlindungan, dikatakan memfokus laporan penyiasatan dengan banyak mendedahkan kes rasuah serta kehilangan orang yang didakwa berlaku di Pakistan.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, beliau memperoleh kemas kini mengenai status Syed Fawad lebih seminggu lalu tetapi perkara berkenaan belum dimaklumkan kepada isteri warga Pakistan itu.

Beliau turut memaklumkan bahawa berdasarkan maklumat rasmi daripada Kerajaan Pakistan, Syed Fawad dikatakan adalah bekas anggota polis yang mempunyai beberapa kes disiplin.

"Beliau bagaimanapun memiliki keupayaan menulis dengan baik, jadi beliau banyak menulis yang menegur serta mengkritik kerajaan, dan akhirnya beliau digambarkan sebagai seorang wartawan," katanya.

Isteri Syed Fawad Ali, Syeeda ketika sidang media mengenai kes kehilangan suaminya pada 30 Disember lalu. - NSTP/Fariz Iswadi Ismail
Isteri Syed Fawad Ali, Syeeda ketika sidang media mengenai kes kehilangan suaminya pada 30 Disember lalu. - NSTP/Fariz Iswadi Ismail

Wartawan warga Pakistan, Syed Fawad Ali.
Wartawan warga Pakistan, Syed Fawad Ali.
Berita Harian X