ALOR SETAR: Dewan Ulama PAS Pusat menyeru kerajaan Persekutuan mengikut jejak langkah Kedah yang tidak memperbaharui lesen premis perjudian dan loteri di negeri itu bermula tahun ini.
Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahaya, berkata kerajaan tidak wajar sekadar berbangga dengan penurunan cabutan undi, tetapi premis judi masih dibiarkan membelenggu masyarakat di negara ini.
"Dewan Ulama PAS ingin menyeru kerajaan Persekutuan supaya turut mempunyai tekad politik yang sama. Tidak wajar sekadar berbangga dengan penurunan cabutan undi, tetapi premis judi masih dibiarkan membelenggu masyarakat di negara ini.
"Tidak ada dapatan yang menunjukkan aktiviti perjudian boleh membawa masyarakat keluar daripada kepompong kemiskinan, sebaliknya ia hanya ilusi ibarat sebuah fatamorgana.
"Lebih malang aktiviti perjudian sebaliknya membawa kepada keruntuhan moral serta mengganggu keharmonian keluarga dan masyarakat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan Kedah atas ketegasan menghapuskan lesen premis perjudian di negeri itu berkuatkuasa 1 Januari.
"Pelaksanaan dasar itu sekali gus memenuhi sebahagian daripada tuntutan al-Quran sendiri yang mencegah umatnya daripada judi.
"Tindakan ini menjadikan Kedah negeri ketiga selepas Kelantan dan Terengganu yang menamatkan lesen premis perjudian di bawah kerajaan negeri yang ditadbir oleh PAS," katanya.
Ahmad berkata, walaupun ramai yang meragui kemampuan ekonomi Kedah susulan penutupan premis judi, Kedah sebaliknya mendapat pelaburan tertinggi dalam sejarahnya sepanjang tahun 2021.
"Mereka (kerajaan negeri) berjaya menghasilkan deretan projek mega berimpak tinggi, selain menghasilkan ratusan ribu peluang pekerjaan di Kedah.
"Alhamdulillah, satu pintu kerosakan ditutup, jutaan pintu keberkatan dan rezeki yang melimpah ruah dibuka," katanya.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) berharap kerajaan negeri dapat menjalankan pemantauan terhadap kegiatan perjudian dalam talian yang dijangka akan berleluasa berikutan semua premis perjudian dan loteri di Kedah ditutup sepenuhnya bermula semalam.
Presidennya, Mohamad Yusrizal Yusoff, berkata sebelum ini pihaknya banyak menerima laporan daripada penghulu dan wakil kampung berhubung kegiatan perjudian dalam talian yang berlaku di kawasan mereka.
"Tahniah kepada kerajaan Kedah kerana berjaya menutup premis perjudian dan loteri selepas tidak lagi memperbaharui lesen perjudian mereka. CAKE berharap pihak berkuasa dapat memperketatkan lagi undang-undang terutama terhadap perjudian dalam talian.
"Selain itu, persatuan juga berharap kerajaan negeri dapat mengurangkan lesen penjualan minuman keras bagi mengehadkan penjualan arak yang dijual secara berleluasa di kedai-kedai biasa. Langkah ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kadar kemalangan kerana ada yang memandu dalam keadaan mabuk," katanya.
Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya semalam susulan keputusan kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau dan memastikan semua premis berkaitan mematuhi arahan yang diputuskan pada November 2021 itu.