Isnin, 2 Januari 2023 | 1:42pm
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Kabinet akan bincang isu ketibaan pengembara China

PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa yakin mesyuarat Kabinet minggu ini akan membincangkan isu ketibaan pelancong dari China ke negara ini.

Beliau berkata, isu terbabit ketika ini dilihat agak menekan berikutan kebimbangan ramai pihak susulan pembukaan semula sempadan negara itu bermula Ahad ini.

Bagaimanapun, katanya bukan bidang kuasa Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menyekat kemasukan pengembara dari China.

"Isu ini agak menekan, saya yakin Kabinet akan membincangkan hal ini.

"Untuk menyekat kemasukan (pengembara), bukan bidang kuasa KKM. Insya-Allah, kami melaksanakan seperti apa yang telah dinyatakan dan sentiasa dalam kesiapsagaan," katanya kepada BH hari ini.

Terdahulu dalam kenyataan hari ini, beliau turut memberi jaminan KKM akan memberi perhatian serius terhadap kebimbangan rakyat berhubung kenaikan kes COVID-19 di China serta sekatan dibuat beberapa negara lain terhadap pengembara dari China.

Ini termasuk meningkatkan kaedah pembendungan penularan jangkitan COVID-19 dalam negara serta kesiapsiagaan bagi berdepan dengan sebarang kemungkinan peningkatan kes COVID-19.

Awal bulan lalu, China menamatkan dasar 'sifar-COVID' bagi membendung wabak berkenaan dengan pembukaan semula sempadan negara itu.

Bagaimanapun, penamatan dasar itu turut menyaksikan peningkatan kes dan kematian di China akibat wabak yang disebabkan oleh subvarian Omicron, BA.5 yang lebih berbahaya.

Susulan itu, Malaysia menetapkan pengembara yang tiba dari luar negara termasuk China perlu melalui saringan demam di pintu masuk antarabangsa (PMA) manakala sampel air kumbahan pesawat dari republik itu juga akan diambil.

Sampel akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk ujian rantai polimerase (PCR) dan seterusnya untuk penjujukan genom sekiranya positif COVID-19.

KKM juga mempertimbangkan keperluan vaksinasi penuh bagi pengembara dari luar, termasuk China sebagai syarat untuk mereka dibenarkan memasuki negara ini.

Beberapa pihak termasuk pakar kesihatan menggesa kerajaan supaya tidak perlu terburu-buru menerima kedatangan pengembara dari China, terutama pelancong, sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan COVID-19 secara besar-besaran di negara ini.

Beberapa negara termasuk India, Itali, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan mengambil tindakan untuk mewajibkan ujian COVID-19 bagi pelancong dari China.

Begitu juga Amerika Syarikat (AS), United Kingdom dan Sepanyol turut menguatkuasakan keperluan perjalanan baharu untuk mereka yang datang dari China termasuk keputusan ujian negatif COVID-19.

Berita Harian X