PASIR SALAK: "Arwah nak sangat buat kenduri kesyukuran minggu depan, tapi saya tak sangka kenduri nanti adalah kenduri arwah untuk dirinya."
Itu luahan Nor Idayu Yunus, isteri mangsa nahas di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah, dekat sini, semalam yang kini mengandungkan anak keempat mereka.
Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa, Muhammad Amir Mohd Yusoff, 32, dirempuh sebuah kereta lumba yang hilang kawalan sewaktu menyaksikan perlumbaan 'CCT Battle of Champion'.
Mangsa disahkan maut ketika menerima rawatan di Hospital Changkat Melintang, Lambor Kanan jam 5 petang akibat kecederaan parah di kepala dan pendarahan di paru-paru.
Menurut Nor Idayu, 29, yang kini kandungannya memasuki tiga bulan, arwah suaminya mahu melakukan kenduri kesyukuran pada 7 Januari ini sempena kesihatan ibu mentuanya, Ubaidah Jusoh, 60-an yang semakin pulih selepas menjalani pembedahan selain perniagaan bengkel arwah yang sangat baik.
"Segala persiapan kenduri dah siap, semua ahli keluarga pun sudah diberitahu.
"Tapi saya tak sangka kenduri kesyukuran nanti akan bertukar menjadi kenduri untuknya," kata Nor Idayu sebak ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Changkat Melintang, malam tadi.
Bercerita lanjut, ketika kejadian, Nor Idayu bersama dua orang anaknya Damia Intishar, 6, dan Damia Inara, 10 bulan berada di rumah mereka di Assam Kumbang, Taiping.
Anak kedua, Yusuf Mikhail, 3, ikut bersama suami ke Litar Dato' Sagor untuk berjumpa rakan dari Kuala Lumpur.
"Tengah hari tadi (semalam), suami beritahu mahu ke Kampung Gajah untuk ambil alat ganti kereta daripada rakannya dari KL.
"Suami saya seorang pengusaha bengkel kereta. Memang rutin suami untuk pergi ke KL untuk ambil alat ganti. Jadi apabila rakannya datang ke Kampung Gajah, tidak jauh la dia mahu ambil untuk kali ini.
"Kami tahu ada perlumbaan dan suami ada cakap yang dia ingin saksikan perlumbaan itu," kata Nor Idayu yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Taiping.
Menurutnya, berita mengenai kemalangan itu diberitahu seorang rakan kerja suaminya melalui panggilan telefon jam 4 petang semalam.
"Ketika saya dan anak-anak sampai ke sini (Hospital Changkat Melintang), doktor sahkan dia dah 'tiada'.
"Sepatutnya malam ni (malam tadi), kami sekeluarga keluar berjalan-jalan untuk sambut tahun baharu. Kebetulan saya pun cuti dan dia pun boleh habiskan kerjanya awal.
"Saya tak pasti anak-anak faham atau tidak, mungkin yang sulung faham sedikit, tapi yang tiga tahun dan 10 bulan... anak dalam kandungan langsung tak sempat jumpa ayahnya," kata Nor Idayu yang memaklumkan bahawa dia dan suami baru sahaja tahu mengenai kandungan baru-baru ini.
Katanya, dia sudah berbincang dengan adik-beradik suaminya supaya ibu mentuanya terus berada di Taiping dan tidak perlu ke hospital bersamanya.
"Ibu mentua saya baru sahaja sihat, kami tak mahu dia terkejut.
"Suami anak keempat dari lima beradik. Saya bersyukur dikurniakan keluarga mentua yang sangat baik.
"Suami saya memang seorang suami yang rajin, ayah yang baik. Anak-anak memang sangat rapat dengan ayah mereka," kata Nor Idayu.
Sementara itu, pekerja kepada mangsa yang turut menjadi saksi kejadian, Ahmad Ferham Mohammad Noor, 22, berkata, dia dan Yusuf Mikhail berada di khemah jamuan ketika insiden menyayat hati itu berlaku.
"Selepas saja makan, anak 'boss' cakap mahu ayahnya. Ketika saya baru sahaja bangun dari kerusi, saya nampak satu kereta lumba masuk ke laluan berumput di tengah litar dan melanggar arwah.
"Kejadian berlaku terlalu pantas. Pasukan keselamatan terus melakukan pemeriksaan dan bawa 'boss' ke sini," katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Changkat Melintang, semalam.
Ditanya mengenai penonton yang berada di kawasan tengah litar, Ahmad Ferham berkata, dia dimaklumkan, penonton di situ terdiri daripada pengurus setiap pasukan yang berlumba termasuk rakan Muhammad Amir.
"Saya diberitahu 'boss' berada di situ bersama rakan-rakannya," jelas Muhammad Amir.