MERSING: Seekor ikan lumba-lumba yang cedera di bahagian ekor ditemui terdampar di pesisiran Pantai Air Papan di sini, pagi tadi.
Pengarah Perikanan Johor, Zainudin Abd Wahab, berkata mamalia spesies 'Tursip Truncates' atau lebih dikenali ikan lumba-lumba hidung botol, yang masih hidup itu dipercayai cedera akibat terkena batu atau karang ketika dibadai ombak susulan laut bergelora.
Bagaimanapun, beliau berkata, disebabkan kecederaan dialami haiwan dipercayai berusia lingkungan satu hingga dua tahun itu tidak serius, ia dilepaskan semula ke laut mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"Jabatan Perikanan Johor sentiasa komited mengurus sumber perikanan, menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan bertekad melindungi sumber perikanan di perairan negeri ini.
"Jadi, kita meminta jabatan, agensi dan masyarakat sentiasa melaporkan kepada jabatan jika spesies terancam termasuk penyu ditemukan terdampar. Usaha secara bersendirian tidak mampu untuk menyelesaikan cabaran ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Mersing, Kapten Nurnajibah Abdullah dalam kenyataan berasingan berkata, petugas Menara Penyelamat Pantai APM, Zul Hafiq Rafiizan menemukan ikan itu di persisiran pantai ketika meletakkan bendera amaran kira-kira 800 meter dari menara.
Beliau berkata, Zul Hafiq cuba melepaskan ikan lumba-lumba itu mengikut laluannya, namun gagal berikutan keadaan air pasang dan ombak kuat.
Susulan itu, katanya, APM menghubungi Pejabat Perikanan untuk tindakan lanjut dan mereka hadir ke lokasi kejadian sebelum melepaskan ikan itu di Teluk Buih di sini.
"Ikan itu didapati terdampar pada jam 8.48 pagi. Ikan ini bukannya tersesat, sebaliknya lokasi itu memang laluan ikan berkenaan," katanya.