Sabtu, 31 Disember 2022 | 4:35pm

'Boleh datang sekolah berpakaian biasa jika peralatan sekolah dihanyut banjir'

BESUT: Kerja akhir pembersihan membabitkan sekolah terjejas banjir di daerah ini selesai dilaksanakan dan sedia menerima kedatangan pelajar pada hari pertama persekolahan bermula esok.

Guru Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung La, Azizan Sudin, berkata sembilan kelas di sekolah berkenaan dilanda banjir dengan enam daripadanya adalah bilik darjah Tahun Satu hingga Tahun Enam, satu kelas pemulihan khas, satu kelas prasekolah serta satu bilik sains.

"Kami mula melakukan kerja mencuci sekolah sejak 22 Disember lalu selepas banjir surut dan bekalan air bersih kembali pulih.

"Kerja pembersihan dilakukan secara bergotong-royong membabitkan warga sekolah, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk kampung.

"Pada hari terakhir hari ini, antara kerja dilakukan termasuk membilas semula kerusi meja yang masih ada kesan selut, berdebu dan menyusun atur kerusi meja mengikut susunan kelas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azizan berkata, banjir yang melanda kawasan itu antara kejadian paling besar hingga air banjir masuk ke dalam kelas.

"Selalunya air banjir hanya memenuhi kawasan padang sekolah saja untuk beberapa hari tanpa menjejaskan kawasan bilik darjah pelajar.

"Kami terpaksa membuang beberapa perabot rosak dan kembang akibat tenggelam banjir kerana tidak boleh digunakan semula," katanya.

Katanya, sekolah berkenaan mempunyai 133 pelajar dengan 17 guru serta 13 kakitangan sokongan.

"Pelajar terbabit banjir diberi kelonggaran datang dengan berpakaian biasa pada hari esok sekiranya baju persekolahan mereka rosak atau dihanyutkan banjir.

"Mereka juga tidak perlu risau jika tiada peralatan sekolah seperti buku dan alat tulis untuk ke sekolah, yang penting mereka tetap hadir bagi meneruskan sesi persekolahan seperti biasa," katanya.

Azizan membersihkan peralatan meja dan kerusi yang dilanda banjir sebagai persediaan pembukaan sekolah bermula esok di SK Kampung La, Besut hari ini. NSTP/ GHAZALI KORI
Azizan membersihkan peralatan meja dan kerusi yang dilanda banjir sebagai persediaan pembukaan sekolah bermula esok di SK Kampung La, Besut hari ini. NSTP/ GHAZALI KORI
Berita Harian X