Sabtu, 31 Disember 2022 | 1:07pm
Kerajaan Perpaduan bersetuju meneruskan pemberian KGT Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam Gred 11 hingga 56, berkuat kuasa esok. - Foto hiasan
Kerajaan Perpaduan bersetuju meneruskan pemberian KGT Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam Gred 11 hingga 56, berkuat kuasa esok. - Foto hiasan

Kakitangan awam harap KGT Tambahan Khas diteruskan

KUALA LUMPUR: Rata-rata kakitangan awam amat berpuas hati dengan pemberian Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Tambahan Khas sebanyak RM100 yang berkuat kuasa esok dan berharap ia diteruskan pada tahun berikutnya.

Walaupun jumlah itu tidak begitu besar, mereka menyifatkan pemberian itu dapat membantu meringankan beban hidup rakyat.

Pembantu operasi, Nor Hidayah Abdullah, 34, berkata pemberian tambahan itu amat bagus terutama bagi mereka yang bergred rendah sepertinya.

Pembantu operasi, Nor Hidayah Abdullah.
Pembantu operasi, Nor Hidayah Abdullah.

"Saya berasa sangat bersyukur dengan pemberian ini kerana ia dapat menambah sedikit sebanyak pendapatan buat saya yang bertugas di ibu kota berikutan kos sara hidup yang sangat tinggi ketika ini.

"Saya berharap kerajaan dapat meneruskan pemberian seperti ini pada setiap tahun bagi menunjukkan sikap prihatin dan ambil berat kerajaan terhadap kakitangan awam," katanya.

Pegawai Penerangan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri, Norazizul Hassan, 32, berkata pemberian KGT tambahan khas RM100 adalah satu inisiatif dan penghargaan kepada penjawat awam.

Pegawai Penerangan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri, Norazizul Hassan.
Pegawai Penerangan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri, Norazizul Hassan.

"Ia dapat membantu pendapatan isi rumah dan memberikan suntikan kepada penjawat awam untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang pada masa akan datang," katanya.

Kakitangan awam di Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Noor Eszereen Juferi, 41, berkata inisiatif itu adalah satu penghargaan kepada penjawat awam.

Kakitangan awam di Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Noor Eszereen Juferi.
Kakitangan awam di Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Noor Eszereen Juferi.

"Ia juga mampu memberikan motivasi kepada penjawat awam untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik, bukan sahaja untuk organisasi, malah juga kepada umum," katanya.

Kakitangan awam, Nur Fhaezatul Syafiqqah Zakaria, 29, juga menyifatkan pemberian KGT tambahan khas itu sebagai penghargaan kerajaan dan berharap ia dapat memberi motivasi kepada kakitangan awam untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang.

Kakitangan awam, Nur Fhaezatul Syafiqqah Zakaria.
Kakitangan awam, Nur Fhaezatul Syafiqqah Zakaria.

Pemberian KGT Tambahan Khas sebanyak RM100 kepada pegawai perkhidmatan awam persekutuan dalam kumpulan pelaksana dan kumpulan pengurusan serta profesional, berkuat kuasa esok.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan di laman Facebook, semalam, memaklumkan berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2022 (PP Bil 2/2022), KGT Tambahan Khas itu diberikan kepada kakitangan bertaraf tetap, sementara serta kontrak dan dilantik sebelum 1 Januari 2023 serta sedang berkhidmat pada 1 Januari 2023.

KGT Tambahan Khas itu akan diberi pada 2023 saja dan bayaran akan dibuat mulai tarikh pembayaran gaji bagi Januari 2023.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan peruntukan khas (Bajet Mini) di Dewan Rakyat pada 20 Disember lalu, berkata Kerajaan Perpaduan bersetuju meneruskan pemberian KGT Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam Gred 11 hingga 56.

Inisiatif pemberian KGT Tambahan Khas itu diumumkan pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-18 pada 30 Ogos dan pembentangan Bajet 2023 pada 7 November lalu, di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Berita Harian X