MALAYSIA terus menjadi destinasi pilihan bagi pengeluar automotif global dengan beberapa jenama terkemuka termasuk Honda, Toyota, Nissan, Mercedes-Benz, BMW dan Porsche menubuhkan operasinya di negara ini bagi memanfaatkan permintaan pasaran yang semakin berkembang.
Untuk rekod, Malaysia adalah pasaran automotif ketiga terbesar di ASEAN, sekali gus menjadikan automotif sebagai industri yang strategik dalam sektor pembuatan negara, selain menyumbang empat peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
Ketika ini, terdapat lebih daripada 28 kilang pembuatan dan pemasangan di Malaysia yang mengeluarkan kenderaan bermotor seperti kereta penumpang, kenderaan komersial, motosikal, serta skuter dan menjadi kumpulan besar alat ganti dan komponen automotif.
Selain pemasangan dan pembuatan, ekosistem sedia ada turut meliputi pelbagai aktiviti dalam penyelidikan dan reka bentuk, pembangunan produk dan proses, pengurusan bahan serta perkhidmatan selepas jualan.
Perkembangan industri kenderaan elektrik (EV) juga dilihat sebagai pemangkin utama dalam memacu industri kejuruteraan, sains dan teknologi bidang automotif.
Ia juga menyumbang kepada pembangunan kemahiran aras tinggi dan peningkatan kepada keupayaan teknologi dan kejuruteraan.
Melihat potensi segmen kenderaan elektrik di Malaysia, Volvo Car Malaysia telah mengumumkan rancangan elektrifikasi syarikat untuk memasang kenderaan EV sepenuhnya yang pertama di kilangnya di Shah Alam, Selangor.
Selain itu, Mercedes-Benz juga telah memulakan pemasangan kenderaan tempatan (CKD) bagi model S-Class tahun lalu bagi memenuhi permintaan tempatan dan pasaran eksport.
Jenama BMW sudah memperkenalkan beberapa model CBU elektrik.
Kedua-dua syarikat ini kini sedang memasang kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) dan telah memberi komitmen untuk pemasangan model EV di Malaysia pada masa akan datang.
Bagaimanapun, cabaran terbesar Malaysia pada waktu ini adalah kemudahan infrastruktur terutamanya bilangan stesen pengecasan EV.
900 stesen pengecasan
Sehingga kini, terdapat 900 stesen pengecas EV di seluruh negara seperti di pusat beli-belah, stesen minyak, hotel, F&B dan kawasan rehat dan riadah dan lain-lain lagi.
Faktor seperti kesediaan infrastruktur pengecasan EV, kos pembelian dan penyelenggaraan, dasar kawal selia, kepakaran teknikal untuk penyenggaraan kenderaan EV serta infrastruktur jalan menjadi kebimbangan pengguna di Malaysia untuk menukar penggunaan enjin pembakaran dalaman (ICE) kepada EV.
Bagi menggalakkan peralihan kepada EV serta meningkatkan bilangan EV, pelbagai insentif telah diperkenalkan kerajaan di antaranya menawarkan pengecualian cukai jalan sehingga 100 peratus sebagai tambahan kepada pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas kos pembelian, pemasangan, penyewaan, sewa beli serta yuran langganan untuk kemudahan pengecasan EV.
Insentif cukai khas juga disediakan bagi menggalakkan dan menarik syarikat untuk pembangunan komponen-komponen kritikal EV seperti Sistem Pengurusan Bateri (BMS); Pek Bateri; Kecerdasan Buatan; Infrastruktur Mengecas; dan Teknologi pertukaran bateri berasaskan teknologi modular (swapping technology).
Bagi merealisasikan aspirasi kerajaan, pelbagai dasar dan polisi telah diperkenalkan bagi memacu industri EV, termasuk inisiatif dan sasaran di bawah Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air, yang menyasarkan 15 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) adalah xEV menjelang 2030 dan 10,000 unit stesen pengecasan akan dibangunkan menjelang 2025 dan Dasar Tenaga Negara (DTN) 2022-2040 turut menyasarkan penggunaan kenderaan elektrik sebanyak 38 peratus menjelang 2040.
Optimis EV jadi pilihan
Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Malaysia adalah destinasi pilihan pelabur sebagai hab bagi industri EV untuk pasaran Asia Tenggara memandangkan kesediaan infrastruktur, teknologi, bakat dan sokongan kerajaan serta industri sokongan yang mantap seperti elektrikal dan elektronik (E&E) dan pengeluar komponen dalam rangkaian pembuatan bateri EV.
Negara boleh memanfaatkan kepakaran syarikat-syarikat dalam negara yang menghasilkan komponen – komponen E&E dalam pembangunan sel dan pek bateri EV memandangkan rantaian ekosistem E&E dalam negara cukup komprehensif dan kukuh, terutamanya bagi aktiviti pembuatan front-end dan back-end semikonduktor.
Industri E&E Malaysia juga mampu menyokong pembuatan dan pemasangan EV dan Kenderaan Autonomi (AV) di negara ini melalui ekosistem yang sedia ada yang merangkumi aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi pembuatan komponen penting, seperti sensor dan transceiver.
Malaysia turut agresif dalam menarik pelaburan-pelaburan strategik khususnya dalam ekosistem segmen Kenderaan Next- Generation (NxGV), kenderaan elektrik dan autonomi serta komponen-komponen kritikal seperti enjin, trenkuasa, Light and Radio Detection and Ranging (LIDAR dan RADAR), Advanced Driver Assistance System (ADAS), bateri EV dan sistem pengurusan bateri EV.
Justeru, MIDA komited dalam memacu dan menarik pelaburan asing berkualiti bagi menyokong aspirasi kerajaan dalam membentuk serta mewujudkan rantaian EV dan ekosistem yang mampan di Malaysia.
MIDA optimis bahawa EV akan menjadi pilihan utama pengguna jalan raya, memandangkan peningkatan permintaan untuk pengangkutan berasaskan tenaga hijau di rantau ASEAN.
Antara inisiatif proaktif yang telah diambil oleh MIDA termasuk, penubuhan unit khusus untuk menggalakkan dan pemudahcara dalam penarikan pelaburan asing seperti Circular Bioeconomy Unit (CBE), The Digital Investment Office (DIO) dan Project Acceleration and Coordination Unit (PACU).
MIDA juga berperanan sebagai sekretariat bersama di dalam National Electric Vehicle Taskforce (EVTF) yang diterajui oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi memudahkan pelaksanaan dasar EV yang lebih komprehensif ke arah memacu penggunaan EV negara.
Inisiatif-inisiatif ini selari dengan dasar dan strategi di bawah teras Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan sejajar dengan Dasar Industri 4.0 Nasional (Industry4WRD) dan agenda Tadbir Urus, Sosial dan Alam Sekitar (ESG).