Sabtu, 31 Disember 2022 | 10:23am
 Foto hiasan
Foto hiasan

Penganggur lari daripada pengawasan polis ditemukan mati

IPOH: Seorang lelaki yang melarikan diri daripada perintah pengawasan polis (OKP) ditemukan maut di hadapan rumahnya di Taman Klebang Putra, Chemor, di sini malam tadi, dengan beberapa kesan kecederaan, dipercayai akibat kemalangan .

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata hasil semakan mendapati penggangur berumur 37 tahun itu melarikan diri daripada pengawasan Balai Polis Parit Buntar berkaitan siasatan kes mengikut Seksyen 6(3) Akta Pencegahan Jenayah 1959.

"Hasil semakan mendapati dia melarikan diri daripada pengawasan polis dari Parit Buntar. Sebelum ini, Balai Polis Parit Buntar juga telah membuat satu laporan polis terhadap lelaki itu yang disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pencegahan Jenayah," katanya.

Beliau berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam jam 11.38 malam tadi memaklumkan mengenai kes kematian di lokasi rumah teres setingkat itu.

Katanya, hasil maklumat adik ipar mangsa yang menumpang di rumah lelaki terbabit sejak seminggu lalu, ada individu didakwa berkunjung ke kediaman berkenaan yang turut dihuni isteri mangsa dan mengetuk pintu sambil memaklumkan penganggur itu dilanggar.

Mohd Yusri berkata, adik ipar mangsa yang membuka pintu ternampak sebuah motosikal sedang beredar dari tempat kejadian sebelum melihat mangsa dalam keadaan terlantar dan tercungap-cungap di hadapan rumah.

"Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan pada telinga kanan, tangan kiri, kaki kiri dan kanan serta badan yang mana ada kemungkinan si mati mangsa kemalangan. Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut diperlukan untuk menentukan punca kematian.

"Polis sedang menyiasat kes ini dari pelbagai sudut. Klasifikasi kes akan dibuat selepas punca kematian diperoleh daripada hasil bedah siasat nanti di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB)," katanya.

Berita Harian X