Sabtu, 31 Disember 2022 | 8:46am
Kelibat anggota PASKAL dilitupi lumpur mencuri perhatian pengunjung pada Hari Terbuka Armada 2022. - NSTP/Muhamad Lokman Khairi
Kelibat anggota PASKAL dilitupi lumpur mencuri perhatian pengunjung pada Hari Terbuka Armada 2022. - NSTP/Muhamad Lokman Khairi

'Itulah makanan paling sedap dan nikmat ketika itu'

LUMUT: "Pernah makan haiwan liar untuk terus hidup," dedah seorang anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL), Laskar Kelas I Muhammad Azamudden Nasahron.

Menurut Muhammad Azamudden, 25, perkara itu adalah sebahagian pengalaman unik yang beliau lalui ketika menjalani latihan peringkat paya selama seminggu.

Bercerita lanjut, beliau dan rakan diarah mencari apa sahaja yang boleh dimakan dengan berbekalkan sebilah pisau.

"Pada awalnya kami makan tumbuh-tumbuhan. Namun pada hari keempat latihan, seorang rakan saya dapat menangkap seekor haiwan liar.

"Memang pada ketika itu, itulah makanan paling sedap dan nikmat," kata Muhammad Azamudden ketika ditemui di ruang pameran 'Survival Pasukan Khas Laut' di Pangkalan TLDM Lumut sempena Hari Terbuka Armada 2022 (HTA22), hari ini.

Muhammad Azamudden (kiri) bersama rakannya di ruang pameran Survival PASKAL. - NSTP/Muhamad Lokman Khairi
Muhammad Azamudden (kiri) bersama rakannya di ruang pameran Survival PASKAL. - NSTP/Muhamad Lokman Khairi

Ruang pameran berkenaan menarik tumpuan pengunjung dengan kehadiran beberapa anggota yang kelihatan 'asing' kerana seluruh badan termasuk wajah dilitupi lumpur.

Jurulatih Survival PASKAL, Laskar Kanan Mohammad Hafiz Abdul Manaf, 28, menjelaskan perkara itu adalah antara ikhtiar hidup anggota PASKAL ketika latihan peringkat paya.

"Survival PASKAL adalah pendedahan kepada anggota sekiranya menghadapi situasi genting seperti kapal terbang terbabit nahas dan bekalan makanan terputus.

"Tujuan anggota melumur lumpur di keseluruhan badan adalah untuk penyamaran, menyejukkan badan sewaktu siang, serta lindungi daripada gigitan nyamuk dan agas.

"Anggota juga didedahkan kaedah menentukan sama ada tumbuhan dan haiwan yang temui itu, selamat dimakan atau sebaliknya," kata Mohammad Hafiz.

Pondok tinggi penempatan anggota PASKAL antara tarikan HTA22. - NSTP/Muhamad Lokman Khairi
Pondok tinggi penempatan anggota PASKAL antara tarikan HTA22. - NSTP/Muhamad Lokman Khairi

Tambah beliau lagi, pada peringkat paya, anggota pelatih juga diajar membina penempatan berupa pondok tinggi untuk melindungi diri daripada ancaman binatang buas dan fenomena air pasang penuh.

"Kami akan kenal pasti paras maksimum ketinggian air sebelum membina pondok. Pameran di sini supaya perkara ini dapat dikongsikan kepada orang ramai sebagai pengetahuan tambahan," kata beliau lagi.

Sementara itu, seorang pengunjung, Hasrizal Mohamad, 40, menyatakan dia amat terkejut dan hairan apabila pertama kali melihat penampilan anggota sebegitu.

"Saya sangat terkejut kerana ini kali pertama saya tahu mengenai ikhtiar hidup PASKAL.

"Kehidupan mereka untuk terus 'survive' sangat luar biasa. Bukan semua orang boleh. Cuma yang terbaik sahaja boleh," katanya.

Berita Harian X