Jumaat, 30 Disember 2022 | 6:28pm

IPT perlu 'dipisahkan' dari orang politik

BANGI: Institusi pendidikan tinggi (IPT) perlu dipisahkan daripada kekuasaan dan lantikan politik bagi menjamin kebebasan ahli akademik, kata bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata, ahli akademik seharusnya dilantik dari kalangan pendidik kerana mereka lebih mengetahui isi hati dan hala tuju pendidik.

"Ruang akademik adalah ruang yang suci dan perlu dihormati, tidak boleh dicemari atau dicabul oleh orang politik. Sepatutnya menteri, sama ada Kementerian Pendidikan (KPM) mahupun Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) haruslah dari kalangan pendidik, bukan ahli politik.

"Ini seperti yang dilakukan di Indonesia," katanya ketika berucap pada seminar dasar awam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini, yang turut disertai Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Ketua Program Sains Politik UKM, Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor.

Hadir sama, Pensyarah Jabatan Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa (SPHEA) UKM, Dr Sharifah Munirah Al-Attas; bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.

Maszlee berkata, pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, menteri dilantik menerajui KPT dan KPM haruslah bukan dari kalangan ahli politik.

Katanya, usul Majlis Pendidikan Tinggi negara juga perlu dikembalikan bagi mengawal selia IPT, di mana menteri tidak mempunyai kuasa apabila berhadapan dengan majlis berkenaan.

"Majlis itu perlu dikuasai dan dikawal oleh orang sesama akademik supaya mereka lebih berkuasa," katanya.

Ketika ini, Menteri Pengajian Tinggi adalah Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Naib Presiden UMNO, manakala Menteri Pendidikan ialah Fadhlina Sidek yang juga Ketua Wanita PKR.

Maszlee yang juga bekas pensyarah dilantik sebagai Menteri Pendidikan ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dari Mei 2018 hingga Januari 2020.

Bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, sistem pendidikan negara ketika ini sarat dengan pengaruh politik, sekali gus perlu ada desakan daripada warga akademik supaya pengaruh politik terhadap sistem pendidikan dapat dicairkan.

"Walaupun di tampuk pemerintahan sekarang, ada orang reformasi, tapi kena ingat, kerajaan sekarang adalah (kerajaan) perpaduan yang mana kita tidak boleh harapkan keseluruhan agenda reformasi itu akan berlaku," katanya.

Berita Harian X