JOHOR BAHRU: Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menikmati makan tengah hari bersama pengunjung di sebuah kedai makan di Kampung Melayu Majidi, di sini, hari ini.
Perdana Menteri yang tiba kira-kira jam 12.00 tengah hari tadi, meluangkan masa hampir setengah jam menjamu selera sebelum bergerak ke Masjid Jamek Kampung Melayu Majidi untuk menunaikan solat Jumaat.
Beliau ditemani oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, serta Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan.
Setiba di masjid yang hanya terletak kira-kira 40 meter dari kedai makan itu, Anwar turut menandatangani semula plak perasmian masjid berkenaan.
Anwar dilapor pernah merasmikan pembukaan masjid terbabit pada 21 April 1995 ketika beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Ia adalah kunjungan pertama Anwar ke Johor sejak mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu.
Beliau yang juga Menteri Kewangan kemudian menyertai ribuan jemaah di Masjid Jamek Kampung Melayu Majidi untuk menunaikan solat Jumaat, selain beramah mesra dengan orang ramai.
Terdahulu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun memulakan lawatan kerja ke negeri ini dengan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, di Istana Bukit Serene, di sini, pagi tadi.
Beliau tiba di pekarangan istana kira-kira jam 10.30 pagi dengan menaiki kenderaan jenis Audi berwarna keemasan, dan sempat mengangkat tangan ke arah pengamal media yang bertugas membuat liputan.
Terdahulu, Sultan Ibrahim berangkat tiba di istana itu pada jam 9.34 pagi, disusuli Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kira-kira 10 minit kemudian.