Jumaat, 30 Disember 2022 | 1:00pm

'Kebaikan cikgu Lim Wen Xi pasti menjadi kenangan indah kami'

KUALA LUMPUR: Seorang guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choon yang maut dalam tragedi tanah runtuh Batang Kali dikatakan sempat meraikan sambutan hari lahir 'secara senyap-senyap' seorang anak muridnya berbangsa Melayu.

Kenangan itu dikongsi oleh ibu murid berkenaan, Nur Amirah Mustamam, 32, yang berkata mendiang Cikgu Lim Wen Xi sempat bekerjasama dengannya untuk menyambut hari lahir anaknya, Putri Aqisha Dalili Mohd Habil, 8, di sekolah.

Surirumah itu berkata, SKJC Mun Choon melarang sebarang sambutan hari lahir di sekolah tetapi kerana kebaikan mendiang Wen Xi, ia tetap disambut secara kecil-kecilan.

"Lebih seminggu sebelum kejadian (16 Disember), adalah kali terakhir saya bertemu dengan mendiang kerana ingin memberi makan kepada murid sekelas anak perempuan saya.

"Saya tidak boleh masuk ke dalam sekolah tetapi cikgu Wen Xi yang bertanggungjawab membawa kek itu secara senyap-senyap dan menggembirakan anak dan rakannya. Ia sangat bermakna untuk kami," katanya ketika ditemui BH, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nur Amirah berkata, Wen Xi tidak sekali pun pernah membeza-bezakan anaknya walaupun mereka bukan berketurunan Cina malah berusaha untuk bercakap dalam bahasa Melayu demi kefahaman anak muridnya.

"Sebagai guru kelas dia berusaha untuk anak saya faham setiap subjek dalam bahasa Cina malah sentiasa memberi maklumat pembelajaran anak kepada kami. Jika tidak faham, dia sanggup menghantar 'voice note' dalam bahasa Melayu supaya anak lebih faham dan jelas," katanya.

Katanya, apabila mengetahui Wen Xi menjadi mangsa dalam tragedi itu, mereka sekeluarga menjadi trauma dan anaknya itu menangis tidak berhenti.

"Sekarang dia mungkin sudah terima tetapi saya risau apabila sekolah buka nanti, kesedihan itu kembali kerana Wen Xi adalah guru kelas kesayangan mereka semua," katanya.

Sementara itu, M Sugumary pula berkata, beliau berharap semua pihak khsususnya warga sekolah SJKC Mun Choong reda dengan apa yang berlaku.

"Kejadian ini benar-benar memberi impak kepada kami sebagai sebahagian warga sekolah ini. Kita orang dewasa mungkin boleh mengatasinya tetapi anak-anak yang bersekolah di sini dan sentiasa rapat dengan guru-guru yang terbabit pastinya akan terkesan.

"Semoga kesedihan ini berlalu dan dapat di atasi dengan lebih baik apabila musim persekolahan baharu dibuka tahun hadapan. Saya yakin guru-guru di sini akan membantu anak-anak kami nanti," katanya yang sudah 16 tahun lebih menghantar anaknya ke sekolah itu.

Seorang bekas pelajar Ong Yi Hern, 13, berkata beliau hadir untuk penghormatan terakhir kepada bekas guru kesayangannya, Lai Lee Kon turut hadir ke majlis ini sebagai.

"Mendiang guru pernah mengajar subjek sejarah ketika berada di darjah empat dan lima. Dia seorang yang baik dan sopan malah tak pernah marah-marah dalam kelas dan juga seorang yang sangat disenangi.

"Kali terakhir saya jumpa cikgu dan dia ada meninggalkan pesanan supaya belajar rajin-rajin dan saya akan ingat pesan itu sampai bila-bila," katanya.

Suasana di Dewan SJKC Mun Choon sempena mengenai guru dan murid yang juga mangsa tragedi di Batang Kali. - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
Suasana di Dewan SJKC Mun Choon sempena mengenai guru dan murid yang juga mangsa tragedi di Batang Kali. - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
Berita Harian X