Khamis, 29 Disember 2022 | 11:34pm
(Gambar fail) Foto hiasan - FOTO BERNAMA
(Gambar fail) Foto hiasan - FOTO BERNAMA

Pemberian KGT Tambahan Khas RM100 berkuat kuasa 1 Januari

KUALA LUMPUR: Pemberian Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Tambahan Khas sebanyak RM100 kepada pegawai perkhidmatan awam Persekutuan dalam kumpulan pelaksana dan kumpulan pengurusan serta profesional, akan berkuat kuasa 1 Januari ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan di laman Facebook, hari ini, memaklumkan berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2022 (PP Bil 2/2022), pemberian KGT Tambahan Khas itu akan diberi pada 2023 saja.

Bagaimanapun, pembayaran KGT Tambahan Khas itu akan dibuat mulai tarikh pembayaran gaji bagi Januari 2023.

"Pegawai layak (menerima KGT Tambahan Khas) ialah mereka yang bertaraf tetap, sementara dan kontrak (contract of service) dan telah dilantik sebelum 1 Januari 2023 serta sedang berkhidmat pada 1 Januari 2023.

"Pemberian KGT Tambahan Khas ini tidak mengubah Pergerakan Gaji Tahunan (PGT) dan Tarikh Pergerakan Gaji (TPG) pegawai, tertakluk kepada peraturan yang sedang berkuat kuasa," menurut JPA.

JPA turut memaklumkan pegawai yang dikenakan hukuman tatatertib, selain hukuman buang kerja yang berkuat kuasa 1 Januari 2023, juga layak menerima KGT Tambahan Khas itu.

"Pegawai yang meninggal dunia pada 1 Januari 2023 juga layak menerima manfaat KGT Tambahan Khas ini yang mana ia akan diambil kira dalam gaji akhir pegawai bagi tujuan faedah persaraan," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan peruntukan khas (Bajet Mini) di Dewan Rakyat pada 20 Disember lalu, berkata Kerajaan Perpaduan bersetuju meneruskan pemberian KGT Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam Gred 11 hingga 56.

Inisiatif pemberian KGT Tambahan Khas itu diumumkan pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-18 pada 30 Ogos dan pembentangan Bajet 2023 pada 7 November lalu, bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – BERNAMA

Berita Harian X