JAKARTA: Malaysia akan mengkaji semula pengendalian kes membabitkan penganiayaan pekhidmat domestik Indonesia (PDI) supaya keadilan dapat ditegakkan dengan berlandaskan peruntukan perundangan negara sedia ada.
Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, berkata beliau amat memahami keprihatinan pemerintah Indonesia terhadap kebajikan dan kesejahteraan PDI di Malaysia.
"Saya memberi jaminan Malaysia akan terus bekerjasama dengan Indonesia bagi memastikan pengambilan dan perlindungan PDI adalah berlandaskan undang-undang negara sedia ada," katanya pada sidang media bersama rakan sejawat, Retno Marsudi selepas mesyuarat dua hala di sini, hari ini.
Zambry diiringi Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Adlan Mohd Shaffieq dan Setiausaha Bahagian Asia Tenggara Wisma Putra, Roseli Abdul.
Malaysia dan Indonesia memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi pengambilan dan perlindungan PDI di Malaysia pada 1 April 2022.
Zambry menzahirkan penghargaan Malaysia ke atas sumbangan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) dan PDI kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia serta kehidupan seharian rakyat Malaysia.
Beliau yang berada di Indonesia untuk lawatan rasmi tiga hari turut membincangkan isu dua hala iaitu potensi pelaburan Malaysia di ibu kota negara (IKN) Indonesia yang baharu, Nusantara, dan pembatasan sempadan maritim serta darat antara kedua-dua negara.
"Saya memberi jaminan Malaysia akan terus berusaha mencapai penyelesaian bagi memuktamadkan pembatasan sempadan maritim dan darat itu," katanya sambil menambah pembangunan Nusantara akan meningkatkan hubungan ekonomi.
Zambry berkata, selain memperkukuh hubungan kerjasama, lawatan rasmi ini adalah persediaan kepada lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jakarta yang dijangka diadakan pada bulan depan.
Beliau turut mengulangi pendirian perdana menteri bahawa Indonesia kekal sahabat sejati dan jiran yang penting untuk Malaysia. - BERNAMA