KUANTAN: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lancang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dilantik Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang berkuat kuasa hari ini, pada persidangan penggal pertama DUN Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini.
Usul melantik Mohd Sharkar dikemukakan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan disokong EXCO Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, Datuk Seri Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak dengan tiada bantahan dari Ahli Dewan.
Mohd Sharkar menggantikan Datuk Seri Ishak Muhamad yang menjawat jawatan itu sejak 2013.
ADUN Bilut, Lee Chin Chen pula dilantik Timbalan Yang Dipertua menggantikan bekas ADUN Jenderak, Datuk Seri Muhamed Jaafar.
Mohd Sharkar, anak jati Temerloh adalah ADUN Lanchang daripada Barisan Nasional (BN) selama lima penggal bermula 1999 namun tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bulan lalu.
Selain itu, beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai EXCO Pahang antaranya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi.
Sementara itu, Chin Chen daripada Pakatan Harapan (PH) dipilih selepas namanya dicalonkan oleh Wan Rosdy dan sekali lagi disokong oleh Mohd Soffi.
Chin Chen adalah Ketua Pembangkang pada persidangan DUN penggal lalu dan mula menjadi ADUN di Pahang pada 2013 selepas memenangi kerusi DUN Ketari pada PRU13 sebelum bertukar ke DUN Bilut pada 2018.
Persidangan hari ini juga menyaksikan semua 42 ADUN Pahang mengangkat sumpah jawatan yang didahului Wan Rosdy disusuli 10 EXCO dan ADUN lain termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang merupakan ADUN Cheka.
Kerajaan Pahang selepas PRU15 dibentuk menerusi kerjasama antara BN dan PH selepas tiada parti yang memperoleh majoriti mudah 22 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya itu.
Pada PRU15, BN dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memperoleh 17 kerusi manakala PH menang di lapan kerusi.
Menerusi kerjasama itu, Wan Rosdy mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar pada 28 November lalu disusuli 10 EXCO pada 2 Disember lalu membabitkan lapan ADUN BN dan bakinya daripada PH.
Dalam ucapan penangguhan persidangan itu, Wan Rosdy mengingatkan wakil rakyat sama ada daripada blok kerajaan mahupun pembangkang supaya sentiasa berhemah ketika mengemukakan hujah, saling hormat-menghormati, serta tidak bertindak keterlaluan sehingga mengguris perasaan mana-mana pihak.
"Maka bermulalah tugas dan amanah secara rasminya Ahli-Ahli Yang Berhormat sebagai wakil rakyat yang mewakili kawasan Dewan Negeri masing-masing.
"Sudah pastinya tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat cukup penting dan menuntut pengorbanan yang besar terutama dalam memastikan kebajikan setiap rakyat sentiasa terjaga," katanya.
Wan Rosdy berkata, sudah tiba masa untuk berkhidmat kepada rakyat serta menunaikan janji serta komitmen yang telah dizahirkan ketika kempen PRU15 yang lalu.
"Negeri ini perlu dibangunkan atas asas kestabilan politik yang kukuh agar pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan tersusun dan sektor ekonomi negeri dapat dipacu ke arah yang lebih baik.
"Kami akan berusaha melaksanakan apa yang telah dirancang sebelum ini terutamanya menerusi Belanjawan 2023 yang telah pun diluluskan pada penggal yang lalu," katanya.
Dalam pada itu, beliau juga meminta ahli blok pembangkang supaya menjalankan fungsi semak dan imbang dengan sebaiknya demi memastikan negeri ini terus kekal maju dan berdaya saing.