KUALA TERENGGANU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diminta memerangi aktiviti ekonomi gelap atau 'black economy' dalam usaha meningkatkan kutipan hasil negara tanpa perlu kerajaan mengenakan cukai baharu kepada rakyat.
Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata aktiviti ekonomi gelap dianggarkan menyumbang sekitar 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, namun mengelak membayar cukai.
Justeru, beliau berkata, jika Kastam dan LHDN itu dapat menggunakan pelbagai kaedah kreatif, termasuk menguatkuasakan peraturan sedia ada, negara mampu bakal memperolehi kutipan cukai tambahan RM70 bilion atau 20 peratus daripada RM350 bilion setahun hasil aktiviti ekonomi gelap.
"Kegiatan ekonomi gelap atau bawah tanah menghasilkan keuntungan sebanyak 30 peratus atau RM350 bilion dalam KDNK, tetapi gagal dikutip dan mengelak daripada membayar cukai.
"Ketika pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kerajaan peroleh hasil daripada semua aktiviti perniagaan, termasuk kegiatan ekonomi gelap dianggarkan sebanyak RM19.4 bilion setahun," katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke Pejabat LHDN Terengganu, di sini hari ini.
Ditanya adakah kerajaan akan memperkenalkan semula GST, Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian, mengesahkan setakat ini tiada keputusan mengenai perkara itu dibuat pada mesyuarat Kabinet.
Katanya, pemansuhan GST oleh kerajaan terdahulu menyebabkan kegiatan ekonomi gelap dan bawah tanah kembali aktif.
"Antara aktiviti gelap atau bawah tanah untuk mengelak membayar cukai adalah menipu taksiran cukai dan menjalankan perniagaan tidak sah," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara dicadangkan kepada dua agensi pengutip cukai negara itu adalah mengadakan rundingan dengan syarikat berkenaan, selain menguatkuasakan peraturan yang sedia ada dengan lebih teliti.
"Kaedah yang dicadangkan itu mampu mengurangkan kegiatan ekonomi gelap yang cuba mengelak daripada membayar cukai," katanya.