KUALA LUMPUR: Satu sekretariat tetap diwujudkan untuk melakukan penyelarasan manifesto ditawarkan parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO itu berkata, sekretariat itu ditubuhkan yang berperanan bagi menggabung jalinkan semua manifesto supaya dapat memperoleh titik persamaan.
Selain mencari persamaan, beliau berkata jika terdapat berbeza, sekretariat berkenaan akan mencari jalan supaya jurangnya dapat dirapatkan demi kesejahteraan rakyat.
"Parti yang mendokong Kerajaan Perpaduan mempunyai manifesto parti masing-masing. Telah dipersetujui oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) supaya manifesto berbeza dicari keagamaan. Ertinya titik persamaan harus dicari.
"Sekarang ini kurang-kurang ada lima parti dan lain-lain parti dan Ahli Parlimen bebas. Jadi, apakah kesamaan? Titik persamaannya iaitu kos sara hidup. Semua parti mempunyai manifesto yang begitu dan itu menjadi keutamaan.
"Di dalam perkiraan saya, banyak akujanji dalam manifesto apabila terdapat sekurang- kurangnya 20 perkara yang mempunyai kesamaan tiap-tiap parti. Cuma ayat berbeza tetapi mempunyai matlamat sama.
"Jadi, itulah sebabnya sebuah sekretariat tetap diwujudkan untuk melakukan penyelarasan antara parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi program bual bicara bertajuk Rekonsiliasi Politik : Apa Untung Pada Negara yang disiarkan secara langsung dalam talian malam tadi.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid percaya dengan langkah itu dapat menyuburkan lagi keserasian dalam kalangan parti politik dalam kerajaan sekarang dalam tempoh lama.
"Jika kerjasama ini boleh dibuat dalam tempoh sederhana dan jangka panjang, Insya-Allah dengan azam sebegitu, saya yakin apabila keserasian itu dapat tumbuh dengan subur maka, maka yang dapat manfaat adalah rakyat.
"Bukan soal politiking di antara parti-parti yang akhirnya memberi mudarat kepada rakyat dan memberi kesengaaraan kepada rakyat.
"Yang kami mahukan dan dambakan adalah soal kesejahteraan rakyat dengan mewujudkan kestabilan politik di negara kita," katanya.