KUALA LUMPUR: Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan UMNO dengan DAP menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan sekarang ini, kerana mencontohi 'teladan' pernah dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Dr Mahathir selaku orang lama UMNO yang mengajarnya untuk bekerjasama dengan DAP yang dianggap seteru sebelum ini.
Pengerusi BN itu mempertikai jika Dr Mahathir boleh 'berpelukan' dengan DAP sewaktu Pakatan Harapan (PH) bergelar kerajaan setelah menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kenapa tidak BN/UMNO sekarang tidak boleh melakukan tindakan sama.
"Patut marah Dr Mahathir dulu. Dia yang bawa DAP masuk dalam Kerajaan PH pertama kali. Patut marah pada dia.
"Dia (Tun M) yang mendoktrinisasi kami selama 22 tahun dan memberikan gambaran yang sangat negatif terhadap parti itu. Tetapi akhirnya mendakwa parti itu dan ini kita lihat bahawa PPBM (BERSATU) juga berdakapan secara politik dengan parti itu.
"PAS juga pernah (bersama DAP). Yang belum berdakapan hanya UMNO dan BN. Kita tidak pernah terlepas daripada tali ikatan terhadap apa yang tercatat di dalam Perlembagaan dan falsafah parti kita," katanya.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian dalam program bual bicara bertajuk Rekonsiliasi Politik - Apa Untung Pada Negara, yang berlangsung secara dalam talian malam tadi.