Isnin, 26 Disember 2022 | 1:52pm
Datuk Fathul Bari Mat Jahya
Datuk Fathul Bari Mat Jahya

Dakwaan jawatan Presiden UMNO, Timbalan tidak dipertanding sekadar usaha lagakan pemimpin

KUALA LUMPUR: Desas desus kononnya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak akan dipertandingkan pada pemilihan akan datang, dilihat sebagai tindakan pihak tertentu yang mahu melaga-lagakan pemimpin parti itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, berkata isu sama ada dua jawatan tertinggi parti itu dipertandingkan atau sebaliknya, tidak pernah dibincangkan setakat ini.

"Saya tak dengar, walaupun desas desus itu ada, malah dalam MKT pun tidak dibahaskan dan tidak dibincangkan, langsung tidak dibincangkan. Saya rasa ini usaha pihak tertentu untuk melaga-lagakan dalam kalangan pimpinan parti.

"Saya rasa seperti yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung UMNO (Datuk Seri Ahmad Maslan) serta pimpinan yang lain, setakat ini tidak ada apa-apa keputusan mengenai hal terbabit, perbincangan pun tiada," katanya kepada BH, hari ini.

Isu membabitkan dua jawatan tertinggi UMNO timbul selepasEXCO Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, dilaporkan berkata parti itu akan menempah episod hitam sekali lagi jika jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Beliau dilaporkan berkata, kedua-dua jawatan berkenaan wajar dipertandingkan pada pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung tahun depan.

Katanya, sekiranya benar terdapat usaha untuk menghalang kedua-dua jawatan itu dipertandingkan, UMNO akan semakin hilang arah dan identiti perjuangan.

Mengulas lanjut, Fathul Bari berkata, jika ada sebarang isu berbangkit atau cadangan yang mahu dikemukakan, perkara itu perlu diserahkan kepada pimpinan parti untuk membuat keputusan.

"Itu hak masing-masing untuk memberikan cadangan, jadi apabila kata itu hak masing-masing, berilah cadangan dan pandangan masing-masing, namun akhirnya ia berbalik kepada proses demokrasi parti iaitu ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

"Demokrasi parti ialah pada PAU dan sekiranya ahli UMNO yang hadir ke PAU membuat keputusan dan bersetuju dengan cadangan itu, maka tentunya ia akan menjadi proses yang akan diputuskan oleh parti...itu sahaja," katanya.

Dalam pada itu, ditanya jika ada usul tertentu terutama membabitkan perlembagaan parti pada PAU yang akan berlangsung Januari tahun depan, Fathul Bari berkata, ia hanya membabitkan perkara teknikal.

Katanya, pindaan itu dijangka membabitkan pelantikan pihak tertentu sebagai perwakilan.

"Itu perkara teknikal sahaja, tidak membabitkan perkara lain, perkara yang menimbulkan isu polemik itu tidak ada, lebih kepada pemerkasaan struktur parti.

"Jadi apabila ada pindaan perlembagaan, akan ada PAU Khas, namun biarlah Setiausaha Agung UMNO yang akan mengumumkan perkara terbabit," katanya.

Berita Harian X