Isnin, 26 Disember 2022 | 1:39pm

Pesta 'selam mentarang' jadi rezeki musim tengkujuh nelayan Perlis

KANGAR: Bagaikan pesta, itu yang dapat diungkapkan apabila hampir 200 penduduk, kebanyakannya nelayan sekitar Perlis dan Kedah, membanjiri perairan Pantai Kuala Sungai Baru dekat Simpang Empat di sini, untuk mengutip mentarang.

Tanpa mengira usia dan jantina, mereka 'turun' ke laut berhampiran pantai itu sambil membawa bekas polisterina atau tong simpanan air yang diubahsuai, kemudian menyelam sedalam kira-kira satu meter untuk mengesan mentarang di dasar.

Walaupun pantai perairan negeri ini tidak sesuai untuk mandi manda berikutan keadaan dasarnya berlumpur, namun itu bukan penghalang kepada nelayan bersama keluarga mereka bersama-sama mengutip mentarang, sejenis siput yang terkenal dalam kalangan masyarakat di sini.

Sebahagian penduduk yang rata-ratanya nelayan dari Perlis dan Kedah berendam sekitar Pantai Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Kuala Perlis, di sini bagi mengutip siput mentarang. - Foto NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR

Selain boleh dimakan secara dibakar begitu saja, siput mentarang atau nama saintifiknya Pholas Orientalist, boleh dijadikan pelbagai hidangan popular seperti goreng tepung, sambal, masak lemak dan tumis cili api.

Petugas media di negeri ini berpeluang meninjau keghairahan mengutip mentarang di perairan itu selepas dijemput pemimpin tempatan Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob, bagi melihat sendiri aktiviti berkenaan.

Ini kerana usaha mengutip mentarang oleh nelayan itu, menjadi rezeki mereka yang tidak dapat ke laut sepanjang musim tengkujuh ini.

Tinjauan mendapati, aktiviti yang dipanggil 'selam mentarang' itu dilakukan antara 500 meter hingga 1.5 kilometer dari pesisiran Pantai Kuala Sungai Baru itu dan kebanyakannya dilakukan penduduk setempat.

Sebahagian penduduk yang rata-ratanya nelayan dari Perlis dan Kedah berendam sekitar Pantai Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Kuala Perlis, di sini bagi mengutip siput mentarang. - Foto NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Sebahagian penduduk yang rata-ratanya nelayan dari Perlis dan Kedah berendam sekitar Pantai Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Kuala Perlis, di sini bagi mengutip siput mentarang. - Foto NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR

Nelayan, Mohd Yusof Ahmad, 40 dari Kuala Sungai Baru, berkata kemeriahan mengutip mentarang musim ini mula dirasai sejak lima hari lalu apabila mereka mengesan siput berkenaan mula boleh ditemui di sekitar perairan Kuala Perlis ini.

"Oleh itu, kami dari komuniti nelayan di sini mula mengambil peluang 'turun' beramai-ramai ke kawasan ini terutama dalam musim tengkujuh ini disebabkan kami tidak boleh ke laut untuk menangkap ikan dan proses ini selalunya dilakukan pada musim angin timur sekitar Disember hingga Januari sahaja.

"Usaha mengutip mentarang ini dilakukan ketika air surut, biasanya mulai jam 5 hingga 9 pagi, manakala sebelah petang mulai jam 5 hingga 7 malam.

"Nak kutip mentarang juga ada caranya, dalam keadaan air laut yang keruh ini, kita kena jejaki dengan kaki yang mencecah selut di dasar ini. Sebaik kaki terasa kehadiran mentarang, kita menyelam ke dasar untuk mengutipnya dan dimasukkan ke dalam bekas yang dibawa sama," katanya.

Mohd Yusof berkata, walaupun berisiko untuk terlekat dalam lumpur dasar laut, namun aktiviti mengutip mentarang sudah menjadi mata pencarian nelayan yang tidak dapat ke laut sepanjang tengkujuh.

"Kami menyelam tanpa sebarang alat bantuan pernafasan, cukup sekadar menahan nafas untuk beberapa saat untuk mengambil siput mentarang di dasar laut.

Sebahagian penduduk yang rata-ratanya nelayan dari Perlis dan Kedah berendam sekitar Pantai Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Kuala Perlis, di sini bagi mengutip siput mentarang. - Foto NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Sebahagian penduduk yang rata-ratanya nelayan dari Perlis dan Kedah berendam sekitar Pantai Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Kuala Perlis, di sini bagi mengutip siput mentarang. - Foto NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR

"Kami bersyukur, sekurang-kurangnya ada hasil buat kami kerana siput mentarang ini sama ada dijual secara langsung atau dihantar kepada peraih di Kuala Perlis, harga jual kepada peraih adalah antara RM8 hingga RM10 sekilogram, sebelum dijual pada orang ramai di antara RM11 hingga RM15 sekilogram.

Remaja, Aswan Sanurin, 15, berkata dia teruja melihat rakan sekampung yang lain 'turun' ke laut di kawasan ini untuk meraih siput mentarang dan tanpa rasa gementar, dia turut sama menyelam untuk mendapatkan hasil laut itu.

"Saya sebenarnya sekadar ikut kawan sahaja, tapi dapatlah juga memperoleh duit poket sepanjang cuti persekolahan ini daripada melepak membuang masa atau melakukan aktiviti tidak berfaedah.

"Takut juga pada mulanya pasal dasar laut sini berselut tapi bila tengok kawan lain semua dapat kutip mentarang dengan banyak. maka saya pun cuba juga dan bila berhasilnya, saya rasa semakin teruja untuk terus kutip hasil ini," katanya.

Sementara itu, Nurulhisham pula melihat aktiviti selam mentarang ini sekurang-kurangnya menjadi alternatif dalam janaan ekonomi penduduk di Kuala Sungai Baru dan sekitarnya terutama apabila tengkujuh sedang melanda.

"Sudah tiga hingga empat tahun kawasan ini tak banyak hasil mentarang tetapi saya lihat aktiviti ini dapat menjana hasil ekonomi nelayan di sini apabila ada nelayan yang mengutip siput mentarang ini mampu mengutip sehingga 50 kilogram sehari dan secara keseluruhannya pula, purata sebanyak empat tan siput mentarang dapat dinaikkan oleh mereka sehari.

"Malah, nelayan ini juga dapat meraih sekurang-kurangnya lebih RM200 sehari untuk aktiviti ini sekiranya ia dilakukan secara konsisten pada sesi pagi dan petang dan jika dilihat juga mereka perlu menyelam antara 0.9 meter hingga 1.2 meter untuk mendapatkan siput mentarang ini," katanya.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Empat, berkata dari segi kulinari masakan mentarang ini, ia sedap dimakan selepas dibakar atau direbus.

"Macam-macam jenis masakan boleh dibuat dengan mentarang ini, seperti rebus, bakar dan buat masak gulai pun boleh.

"Namun, warga emas atau 'orang lama' selalunya suka masak mentarang ini dibuat kerabu di mana ia dimakan dengan umbut pisang," katanya.

Sebahagian penduduk yang rata-ratanya nelayan dari Perlis dan Kedah berendam sekitar Pantai Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Kuala Perlis, di sini bagi mengutip siput mentarang. - Foto NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Sebahagian penduduk yang rata-ratanya nelayan dari Perlis dan Kedah berendam sekitar Pantai Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Kuala Perlis, di sini bagi mengutip siput mentarang. - Foto NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Berita Harian X